Isnin, 5 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Dua remaja didakwa sebabkan kematian pelajar

Posted: 05 Nov 2012 03:01 AM PST

ALOR GAJAH: Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Juvana atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan dua di tingkat satu Perhentian Bas & Teksi Pulau Sebang, Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh berusia 14 tahun itu didakwa menyebabkan kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Sebang, K Saravannan pada kira-kira jam 2.30 petang, 24 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah di depan Majistret Mohd Firdaus Saleh dalam prosiding secara tertutup.

Mohd Firdaus kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan mereka melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Ishak sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.
- BERNAMA

Badrulamin disiasat kerana disyaki terbabit dalam al-Arqam

Posted: 05 Nov 2012 02:41 AM PST

SHAH ALAM: Pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Badrulamin Bahron akan disiasat kerana disyaki terbabit dalam al-Arqam apabila hadir dalam
program anjuran Global Ikhwan Sdn Bhd di Rawang, baru-baru ini, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin. "Apabila beliau (Badrulamin) hadir, bermakna ia membantu mengembangkan ajaran Aurad Muhammadiah dan menghidupkan semula al-Arqam. "Walaupun beliau menafikan pembabitannya dalam pertubuhan yang diharamkan ini, kita tetap siasatnya mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

"Walaupun beliau nafikan pembabitan dalam al-Arqam, tetapi tetap menjadi kesalahan kerana dia hadir beri sokongan kepada pertubuhan difatwakan haram pada 1995," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

JAIS menahan 20 orang termasuk Badrolamin di Rawang baru-baru ini atas dakwaan cuba menghidupkan semula al-Arqam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan