Ahad, 4 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Petugas JKR rugi RM15,000 kereta diparkir depan rumah kosong terbakar

Posted: 04 Nov 2012 01:38 AM PST

KUALA TERENGGANU: Seorang petugas Jabatan Kerja Raya(JKR) Terengganu kerugian kira-kira RM15,000 selepas keretanya yang diletak disebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Pasir Panjang di sini, terbakar.

Kejadian kira-kira 12 tengah hari itu turut menyebabkan rumah kampung yang diperbuat daripada kayu tersebut terbakar.

Noor Haidan Amran, 49, berkata beliau meletak keretanya di rumah itu pada kira-kira 10.30 pagi selepas pulang dari menghantar surat kepada rakannya dan kebakaran terbabit disedari seorang kanak-kanak, Syukur Jusoh, 11, yang bermain basikal tidak jauh dari tempat kejadian.

"Saya memang biasa meletakkan kereta di bawah rumah berkenaan, namun pagi tadi, saya rasa teragak-agak nak letak kereta di situ... Masa kejadian, saya lihat api berhampiran tayar sebelah kiri kereta dan terus mengambil air serta pasir untuk padamkan api," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Bagaimanapun, tindakan Noor Haidan ternyata sia-sia kerana api yang marak membakar keretanya telah merebak ke bahagian rumah itu.

Pegawai Bomba Tinggi Kuala Terengganu Rozali Hussin berkata, sejurus menerima panggilan, dua jentera bersama 15 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengawal kebakaran.

"Kebakaran itu memusnahkan 80 peratus rumah kayu berkenaan dan sebuah kereta. Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA

Mahkamah perintah KUIN bayar RM1.599 juta kepada syarikat pengusaha asrama

Posted: 04 Nov 2012 01:29 AM PST

SUNGAI PETANI: Mahkamah Tinggi Alor Setar memerintahkan Kolej Universiti Insaniah (KUIN), milik kerajaan Kedah, membayar RM1.599 juta kepada Syarikat Shake Cuisine Sdn Bhd pada 31 Oktober lalu kerana kegagalan melunaskan bayaran perkhidmatan yang disediakan syarikat itu.

Pengarah Urusan syarikat itu, Shaikh Faisol Shaikh Yusoff berkata, beliau lega dengan keputusan itu walaupun jumlah bayaran yang diperoleh hanya bagi baki bayaran kontrak.

Pada Mac lepas, Shaikh Faisol membuat tuntutan di mahkamah terhadap KUIN sebanyak RM1.599 juta untuk baki bayaran dalam kontrak, RM200,000 bagi kerugian kos bayaran sewa stor barang serta kerugian akibat tidak dapat meneruskan perniagaan lain berjumlah RM1,259,939 selain faedah pada kadar lapan peratus setahun, kos dan lain-lain relief.

Katanya, syarikat itu menyediakan perkhidmatan kepada 300 pelajar KUIN di cawangan KUIN Sungai Petani bagi tempoh tiga tahun bermula Januari 2009 hingga Disember 2011 dengan kadar bayaran ditetapkan dalam perjanjian sebanyak RM200 sebulan untuk setiap pelajar.

Kos berkenaan merangkumi kos perkhidmatan asrama (kediaman) dan pengangkutan untuk seramai 300 pelajar, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata mengikut kontrak, jumlah bayaran keseluruhan mengikut persetujuan kedua-dua pihak sehingga selesai tempoh perjanjian adalah RM2.160 juta.

Akibat kegagalan defendan mematuhi terma perjanjian dengan sempurna, pihak plaintif mengalami kerugian apabila terpaksa menanggung kos sewa rumah, pembelian barang-barang keperluan dan kos-kos berkaitan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan