Sabtu, 3 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Mutakhir


Usaha hidupkan semula Al-Arqam salah: TPM

Posted: 03 Nov 2012 02:34 AM PDT

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cubaan menghidupkan semula ajaran Al-Arqam perlu diambil perhatian kerana membabitkan ajaran Islam yang salah.

Beliau berkata, ajaran itu sudah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, justeru ia tidak sepatutnya dihidupkan kembali.

"Ini diputuskan oleh Majlis Fatwa kita tidak lama dahulu, diharamkan. Tapi masih ada bunga-bunga (untuk aktif semula)... masih nak teruskan walaupun tidak atas nama Al-Arqam.

"Seperti yang disebut menteri bertanggungjawab di Jabatan Perdana Menteri, ini adalah sesuatu yang kita perlu ambil perhatian sebab ia adalah ajaran salah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Khas Guru Malaysia anjuran Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan NUTP di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas usaha menghidupkan semula ajaran sesat Al-Arqam dengan penganjuran konsert khas di Rawang, Khamis lalu.

Dalam serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada majlis itu, 16 individu turut ditahan termasuk seorang pemimpin pembangkang. Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan bon mahkamah semalam.

Mengulas pembabitan anggota pembangkang itu, Muhyiddin berkata: "Ini soal hukum, soal akidah. Tak kira siapa yang terbabit, kalau dia orang Islam, itu satu kesalahan. Sesuatu yang tidak harus dilakukan."
Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri enggan mengulas dakwaan penglibatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan usahawan balak, Michael Chia.

Muhyiddin bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat hukuman awal hanya kerana ada pihak yang membuat tuduhan.

"Banyak pihak yang dituduh tapi akhirnya terbukti tak buat kesalahan dan diputuskan oleh mahkamah juga. Jangan mudah buat' judgement' awal sebelum ia diputuskan pihak berwajib. Ia mesti dilihat secara prinsip, kebertanggungjawaban dan undang-undang," katanya.

Tegasnya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati tentang sesuatu perkara boleh mengemukakannya kepada pihak bertanggungjawab supaya langkah susulan boleh diambil.

- BERNAMA

Pendidikan mampu ubah nasib seseorang: Najib

Posted: 03 Nov 2012 02:17 AM PDT

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sentiasa melakukan perubahan dan penambahbaikan terhadap bidang pendidikan kerana menyedari pendidikan mampu mengubah nasib seseorang itu kepada lebih baik.

"Wahana paling berkesan untuk mengubah seseorang dan bangsa adalah melalui pendidikan.

"Di Malaysia, individu yang berlatar belakang sederhana atau miskin boleh mengubah (nasib) kepada yang lebih baik (menerusi pendidikan", katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian surat tawaran kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di bawah program Mengubah Destini Anak Bangsa dan Penyerahan Geran IPT Yayasan Pahang bagi kawasan Parlimen Pekan, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pendemokrasian pendidikan di negara ini dilihat antara yang terbaik di dunia dalam membentuk mobiliti sosial yang mapan.

Beliau berkata di negara ini, menerusi pendidikan sesuatu generasi itu mampu mengubah untung nasib mereka untuk berada lebih baik berbanding generasi sebelumnya.

Najib berkata, kos pendidikan di negara ini juga dilihat masih rendah berbanding negara lain termasuk kos melanjutkan pengajian tinggi.
"Di Malaysia kos pendidikan tinggi adalah sederhana...kerajaan juga melakukan perubahan dan penambahbaikan dalam Belanjawan 2013 baru-baru ini di mana pendidikan percuma untuk pelajar sekolah rendah dan menengah serta pemberian RM 100 kepada setiap pelajar, akan kita teruskan pada tahun hadapan," katanya.

Mengenai inisiatif UiTM itu, beliau berkata ia memberi peluang kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Pada majlis itu, 350 pelajar dari seluruh Pahang diberikan surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran peringkat pradiploma di UiTM cawangan Jengka, Pahang.

- BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan