Selasa, 9 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pemandu teksi maut di kubur

Posted: 08 Oct 2012 03:57 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi sempat melarikan diri kira-kira 200 meter sebelum rebah dan meninggal dunia selepas diserang dan ditikam dalam kejadian di Tanah Perkuburan Kristian Jalan Kuari, Cheras, di sini, semalam.

Mangsa yang berusia 40-an ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan jam 7.30 malam dalam keadaan terbaring berlumuran darah dipercayai diserang sebelum dirompak.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, mangsa mati parah di perut akibat ditikam selain dipukul dengan objek tumpul di kepala.

Beliau berkata, pemeriksaan unit forensik di tempat kejadian menemui dua pisau pemotong sayur masing-masing berhampiran mayat mangsa dan dalam teksinya.


"Kami percaya mangsa diarahkan untuk memandu ke tanah perkuburan ini sebelum dirompak dan dicederakan. Kejadian itu dipercayai dilakukan lebih daripada seorang.


"Bagaimanapun, mangsa yang ketika itu parah cuba mendapatkan bantuan, tetapi gagal sebelum meninggal dunia," katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dirompak kerana semua barang berharga dan beg duitnya tidak ditemui.


"Pemeriksaan dalam teksi mangsa mendapati terdapat kesan darah di tempat duduk pemandu dan polis percaya mangsa diserang ketika berada dalam teksi," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/09


‘Saya tak buat jenayah’

Posted: 08 Oct 2012 03:54 PM PDT

KUALA LUMPUR: Adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra memberitahu Mahkamah Tinggi beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan yang berunsur jenayah ketika polis menahannya pada 30 Julai 2009.

Tengku Muhammad Fakhry, 34, dalam penyataan saksi berkata, beliau juga tidak diberitahu sama ada dia melakukan kesalahan berunsur jenayah dan tidak tahu mengapa ditahan polis di pekarangan Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kelantan. "Saya ditahan sekurang-kurangnya satu jam oleh polis dan tidak dibenarkan keluar dari Istana Mahkota ketika itu," katanya pada perbicaraan kes saman RM150 juta beliau terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan tiga lagi yang didakwa menahannya secara salah pada tarikh itu.


Saman itu difailkan pada 9 Disember tahun lalu dan selain Ismail, beliau menamakan Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan, Asisten Superintendan Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai defendan. Dalam penyataan tuntutan, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa beliau ditahan secara salah pada 30 Julai 2009 di kawasan Istana Mahkota Kubang Kerian ketika memandu sebuah kereta Bentley Brooklands. — Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/09


Tiada ulasan:

Catat Ulasan