Ahad, 7 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


GRO meringkuk dalam kabinet

Posted: 06 Oct 2012 09:36 AM PDT

SERI KEMBANGAN: Seorang pelayan pelanggan (GRO) sebuah pusat karaoke di Taman Pinggiran Putra, di sini, cuba bersembunyi dalam kabinet sebelum ditemui dalam keadaan meringkuk ketika pusat hiburan itu diserbu Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Bukit Aman, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 10.55 malam, 23 wanita warga Thailand, China dan Vietnam berusia 19 hingga 30 tahun ditahan selepas didapati menyalahguna pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai GRO di pusat karaoke yang beroperasi sejak Januari tahun ini.

Ketua Unit ATIP Bukit Aman, Deputi Superintendan Nor Omar Sappi berkata, wanita terbabit yang bertubuh kecil cuba mengambil kesempatan menyorok dalam kabinet menempatkan pemain set karaoke ketika anggota unit berkenaan sibuk memeriksa premis itu.

Menurutnya, pusat karaoke itu didapati berselindung atas nama hiburan keluarga tetapi disyaki turut menawarkan khidmat seks pada kadar RM160.


"Serbuan dilakukan hasil maklumat awam yang mendakwa wujud aktiviti eksploitasi seks membabitkan wanita warga asing.


"Malah, ketika serbuan, dua pelanggan lelaki tempatan sedang melakukan hubungan seks di bilik yang disediakan khas di premis lain, 50 meter dari pusat karaoke," katanya.

Nor Omar berkata, pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks akan membuat rundingan di kaunter bagi memilih wanita diingini sebelum dibawa ke premis lain yang menempatkan enam ranjang dan dijaga seorang pekerja.

"Pekerja terbabit akan memberi kunci bilik ranjang itu kepada pelanggan terbabit apabila dimaklumkan pihak kaunter selepas bayaran dibuat.

"Pelanggan karaoke juga disediakan khidmat GRO warga asing yang akan melayan mereka mulai jam 8 malam hingga 4 pagi untuk setiap bilik mengikut pakej tertentu pada harga antara RM500 hingga RM1,000," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati pusat karaoke terbabit turut beroperasi tanpa lesen dan pernah dua kali diserbu sebelum ini, tetapi pengusahanya masih tidak serik apabila meneruskan aktiviti persundalan di sebalik pusat hiburan.

"Oleh itu, kami turut menahan 14 pelanggan dan lima pekerja untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Dua GRO yang ditahan ketika melakukan seks dengan pelanggan pula akan didakwa mengikut Seksyen 12, Akta ATIP 2007," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


Krisis keluarga punca gadis 12 tahun liar

Posted: 06 Oct 2012 09:23 AM PDT

KUALA LUMPUR: Akibat tabiat si bapa yang gemar memukul ibunya, anak perempuan pasangan berkenaan berusia 12 tahun menunggang motosikal tanpa lesen sejauh 40 kilometer (km) untuk mencari hiburan sebelum dicekup dalam Ops Samseng Jalan Raya di sekitar ibu kota, semalam.

Kanak-kanak bawah umur itu juga berhenti sekolah sejak sebulan lalu kerana mendakwa tidak mampu fokus pada pelajarannya akibat krisis keluarganya.


Ketua Unit Kuat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, kanak-kanak itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda bersama seorang rakannya berumur 16 tahun ditahan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua remaja berasal dari Kajang itu tidak memiliki lesen memandu dan tidak membawa kad pengenalan.


"Siasatan lanjut mendapati mereka keluar dari rumah pada awal pagi menaiki sebuah motosikal milik ahli keluarga dan menuju ke Kuala Lumpur untuk mencari hiburan.


"Mereka mengaku mencari ketenangan dan mengalami tekanan akibat tabiat bapa yang suka memukul ibu di depan anak-anak," katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Katanya, kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur sebelum ibu bapa masing-masing diminta hadir untuk diberi amaran.


Azmi berkata, turut ditahan seorang lelaki berumur 24 tahun yang bekerja sebagai pekerja landskap atas kesalahan menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.

"Sebanyak 92 saman dikeluarkan selepas memeriksa 230 kenderaan dalam operasi yang dijalankan dari 12 tengah malam hingga 3 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


Tiada ulasan:

Catat Ulasan