Sabtu, 6 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Tiada siapa hasut, desak’

Posted: 05 Oct 2012 01:56 PM PDT

SHAH ALAM: Jika Rabu lalu lebih 200 penduduk perumahan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membuat demonstrasi secara aman di hadapan ibu pejabat PKNS, Seksyen 13, di sini, bagi mendesak perbadanan itu melupuskan hutang pembelian rumah mereka, semalam, lebih 100 penduduk perumahan Desa Mentari dan Kampung Lindungan, Petaling Jaya pula melakukan tindakan sama.

Yang Dipertua Persatuan Penduduk Desa Mentari, Ishak Maarof berkata, desakan itu dilakukan bukan disebabkan hasutan mana-mana parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO), sebaliknya kesedaran penduduk terhadap sikap kerajaan negeri yang tidak prihatin terhadap rakyat yang berpendapatan rendah.


Katanya, desakan untuk meminta PKNS melangsaikan hutang penduduk itu sudah dirancang awal selepas adanya isu berkaitan Talam Corporation Berhad (Talam).

"Kami tidak menyangka, selain kami ada penduduk turut berfikiran seperti apa yang sudah kami rancangkan. Ini kebetulan.


"Kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meminta kami memohon bantuan zakat adalah kenyataan yang sangat ego dan menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab kepada rakyat Selangor," katanya.


Kumpulan itu menyerahkan surat tuntutan mereka kepada Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim, jam 11 pagi semalam.

Mengulas dakwaan PKNS yang menyatakan mereka tiada kaitan dalam pembayaran wang hutang berkenaan, Ishak berkata, desakan itu tetap dibuat memandangkan perbadanan itu anak syarikat kerajaan negeri dan perlu bertanggungjawab membantu nasib penduduk.


"PKNS sudah terbabit dengan hutang Talam dan wajar untuk mereka membantu rakyat Selangor terutama yang berpendapatan rendah.

"Kerajaan negeri hanya menggunakan PKNS untuk kesenangan politik mereka. Sekarang, rakyat sudah bangkit untuk menuntut janji pilihan raya mereka dulu yang mahu membantu golongan berpendapatan rendah," katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Integriti PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, tindakan penduduk perumahan PKNS mengadakan demonstrasi amat dikesalkan.


Katanya, penduduk terbabit hanya dipergunakan sesetengah pihak bagi mencapai agenda tertentu.


"Mereka diperdayakan NGO tertentu yang meyakinkan mereka kononnya PKNS perlu mengambil alih hutang rumah mereka.


"Kami menasihatkan semua penduduk terbabit supaya jangan terpedaya dengan hasutan ini kerana ia adalah tidak benar sama sekali," katanya.


Akhbar semalam melaporkan lebih 200 penduduk rumah pangsa di Seksyen 7, 16, 18 dan 20, di sini, mengadakan demonstrasi bagi meminta PKNS melupuskan hutang pembelian rumah mereka bernilai RM19 juta selepas 100 penduduk dari Kelana Jaya dan Petaling Jaya turut melakukan perbuatan yang sama pada Isnin lalu.


Norita turut mengingatkan penduduk perumahan PKNS supaya tidak memberikan maklumat peribadi diri berikutan risau disalah guna pihak tertentu.


Katanya, PKNS dapat mengesan tindakan beberapa NGO yang meminta maklumat peribadi penduduk kononnya bagi membantu urusan pembayaran hutang rumah mereka.


"NGO berkenaan turut mengutip RM10 bagi setiap borang. Perkara ini tidak betul dan penduduk yang keliru mengenai isu ini sepatutnya menghubungi PKNS tanpa menggunakan orang tengah," katanya.


Beliau berkata, PKNS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap NGO yang dikenal pasti menjadi dalang menghasut penduduk membuat tuntutan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


Bukan didera tapi usus pecah

Posted: 05 Oct 2012 01:51 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sangkaan pihak hospital seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun mati didera meleset selepas hasil bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat usus pecah.

Mangsa, Tan Siong Ling yang meninggal dunia Rabu lalu jam 9.30 malam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) disangka didera selepas terdapat beberapa kesan lebam di bahagian belakang badannya.


Ibu saudara mangsa, Low Wan Cheng, 30-an, berkata, anak saudaranya itu mengadu sakit dan dibawa ke sebuah hospital swasta sebelum dirujuk ke PPUM pada hari kejadian.

Katanya, dalam keadaan tenat, anak saudaranya itu diberi bantuan oleh doktor pakar di kedua-dua hospital, namun meninggal dunia di PPUM.


"Selepas anak saudara saya meninggal dunia, doktor mendapati belakang badannya terdapat tanda lebam sebelum memaklumkan kepada polis untuk siasatan lanjut.


"Kami juga diberitahu usus anak saudara saya pecah hingga menyebabkan kami sekeluarga membuat proses bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)," katanya di sini, semalam.

Low berkata, hasil bedah siasat, usus anak saudaranya pecah dipercayai ketika proses untuk menyelamatkannya dilakukan pakar perubatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


Tiada ulasan:

Catat Ulasan