Khamis, 4 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tragedi cerita seram pertama

Posted: 03 Oct 2012 11:44 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kegembiraan seorang lelaki menonton cerita seram buat kali pertama dalam hidupnya bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 5.3, Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban arah Sungai Besi berhampiran Desa Petaling, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang juga pembonceng motosikal, S Kavi Arasu, 21, maut di tempat kejadian kerana parah di kepala selepas tercampak ke tebing jalan manakala penunggang motosikal terbabit yang identiti belum dikenali cedera parah.


Seorang saksi kejadian berkata, motosikal yang dinaiki Kavi bersama rakannya itu terbabas selepas dihimpit sebuah lori yang meninggalkan lokasi sebaik menyedari kedua-dua mangsa terjatuh.

Menurut sepupu mangsa yang dikenali sebagai Ammu, 21, sebelum kejadian itu, mendiang menghubunginya memberitahu baru selesai menonton sebuah drama seram.


"Mendiang memberitahu saya dia sudah dewasa dan bukan lagi seorang yang penakut kerana berjaya menonton cerita seram itu. Sebelum ini, mendiang langsung tidak menonton cerita seram.


"Saya tidak sangka kata-kata dan tindakannya itu tanda mendiang pergi selama-lamanya," katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kilometer 9, Lebuh raya Damansara Puchong (LDP) arah Petaling Jaya, seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.


Kejadian jam 7 pagi itu berlaku apabila mangsa, Mohd Nor Azam Idris, 42, terjatuh daripada motosikal sebelum sebuah kereta yang mengekori merempuh dan mengheretnya kira-kira 10 meter.

Mayat mangsa yang tersepit di bawah kereta terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Radio rosak undang risiko kapal di Pelabuhan Klang

Posted: 03 Oct 2012 11:41 AM PDT

PELABUHAN KLANG: Pelbagai jenis kapal yang keluar dan masuk ke Pelabuhan Klang berisiko mengalami pelanggaran apabila Saluran Marin 12, iaitu radio yang digunakan untuk berkomunikasi rosak sejak seminggu lalu.

Kerosakan peralatan itu menimbulkan persoalan tahap keselamatan navigasi kerana ia komunikasi antara kapal asing, kawalan trafik, malim atau pengendali kapal, pejabat malim dan kapal yang diberi pengecualian malim oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pelabuhan berkenaan.


Menurut sumber, ketika ini semua pihak menggunakan Saluran Marin 16 iaitu saluran komunikasi am antarabangsa yang boleh digunakan semua kapal yang berada di lautan atau di pelabuhan.

"Bagaimanapun, Saluran 16 ini sangat sibuk, ditambah dengan semua komunikasi di Pelabuhan Klang terpaksa menggunakannya. Pihak operator pelabuhan dan LPK tidak mampu mengatasi masalah ini yang berlarutan hampir seminggu.


"Perkara ini mengundang permasalahan serius mengenai tahap keselamatan dalam kawasan perairan Pelabuhan Klang. Keadaan ini diburukkan dengan pengecualian penggunaan khidmat malim atau jurupandu tempatan walaupun kira-kira 100 kapal pelbagai saiz, termasuk kapal kontena yang membawa sehingga 10,000 kontena keluar dan masuk setiap hari," katanya.


Menurut sumber, masalah itu mula berlaku apabila khidmat malim dipisahkan kepada dua pengendali pada 2000 dan menyebabkan operator yang menguruskannya bersaing sehingga mengabaikan aspek keselamatan.

"Pada 27 September lalu, berlaku satu kemalangan antara kapal tangki minyak yang diberikan pengecualian malim oleh LPK dengan kapal yang berada di dermaga Pelabuhan Selatan milik sebuah syarikat dari Taiwan. Kejadian ini menjatuhkan imej pemaliman di Pelabuhan Klang dan secara tidak langsung imej Malaysia kepada dunia luar.


"Kemalangan ini berlaku kerana ketidakcekapan, kurang kemahiran dan kurang kefahaman air pasang surut di Pelabuhan Klang ketika mengendali kapal oleh nakhoda kapal minyak di kalangan pekerja warga Indonesia yang mengakibatkan tahap keselamatan di Pelabuhan Klang diragui oleh pihak nakhoda kapal asing," katanya.

Sumber itu turut mempersoalkan pengambilan tiga bekas tentera warga Myanmar oleh operator syarikat Pelabuhan Barat untuk bekerja sebagai malim, walaupun ada bekas tentera kita yang memohon jawatan itu, tetapi tidak diendahkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Tiada ulasan:

Catat Ulasan