Selasa, 2 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Leher dihiris pembahagi besi jalan

Posted: 01 Oct 2012 10:26 AM PDT

SERDANG: Mengerikan apabila seorang penunggang motosikal maut selepas lehernya hampir putus terhiris besi pembahagi jalan dalam kemalangan di Kilometer 306.8 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran hentian Serdang arah tol Sungai Besi, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Alfa Sa'am, 39, berasal dari Pantai Dalam, dekat sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Seremban bersama tunangnya.


Bagaimanapun, tunang mangsa yang terjatuh dari motosikal cedera ringan.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya.


Sumber polis trafik berkata, akibat rempuhan itu, kepala mangsa tersangkut pada besi berkenaan dan terseret hingga lehernya hampir putus akibat terhiris besi itu.


"Mangsa mati di tempat kejadian manakala motosikalnya terseret beberapa meter menyebabkan tunangnya tercampak di atas jalan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu di balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Serdang di talian 03-80742222.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


100 pembeli emas berang

Posted: 01 Oct 2012 10:24 AM PDT

KUALA LUMPUR: Lebih 100 perunding dan pembeli emas berhimpun di depan sebuah syarikat memperdagang emas di Kuchai Lama, di sini, selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu premis itu, semalam.

Serbuan dijalankan mulai jam 2 petang dengan kerjasama polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas syarikat terbabit dipercayai menjalankan aktiviti mengambil deposit secara haram daripada lebih 50 ribu pelanggan.


Menurut jurucakap BNM, syarikat sama yang beroperasi sejak 2007 dan didaftarkan di bawah Sendirian Berhad, pernah didakwa kerana kesalahan sama pada 2009.

"Selepas didakwa, syarikat terbabit menukar nama pada tahun lalu dan meneruskan aktiviti perdagangan.


"Sehingga kini, BNM dan agensi berkenaan yang turut menjalankan serbuan sedang menyiasat mengikut akta dan kesalahan di bawah bidang kuasa masing-masing," katanya ketika dihubungi.


Katanya, serbuan serentak turut dijalankan ke atas sebuah lagi syarikat pelaburan emas yang didaftarkan mengikut nama sama di Singapura dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan sama ada syarikat itu mempunyai kaitan dengan syarikat di Malaysia.

Dalam serbuan itu, BNM merampas dokumen urus niaga syarikat terbabit, komputer, emas dan wang tunai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 25 (1) Bafia dan Seksyen 4 (1) Akta Pengubahan Wang Haram.


Sehingga jam 10 malam tadi, tiga pejabat urusan syarikat terbabit dipenuhi ratusan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak penguat kuasa melakukan serbuan menyebabkan sepasukan polis ditempatkan di lokasi serbuan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Seorang perunding emas yang hanya mahu dikenali sebagai Eddy, 50, berkata, mereka dijangka memperoleh emas yang dibeli dua minggu lalu esok (hari ini).


"Serbuan ini menyebabkan kami gagal mendapat emas yang dibeli kerana ia mungkin disita pihak berkuasa untuk siasatan.


"Ini menyebabkan urusan pengagihan imbuhan pembelian emas kepada pembeli di bawah perunding masing-masing akan tergendala," katanya.


Sementara itu, BNM dalam kenyataan akhbar berkata, pihaknya mengadakan serbuan dengan kerjasama polis dan KPDNKK terhadap syarikat itu dan serbuan sama dijalankan terhadap syarikat nama sama di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02


Tiada ulasan:

Catat Ulasan