Khamis, 18 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Sila serah dokumen’

Posted: 17 Oct 2012 04:33 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Kami desak supaya ahli jawatankuasa sebelum ini menyerahkan segala dokumen berkaitan termasuk membentangkan laporan kewangan kepada penduduk.

"Jika tidak, kami akan mengambil tindakan undang-undang kerana penyelewengan berjumlah lebih RM2 juta dilakukan selama ini," kata Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Lestary, Zainol Abideen Katchee Mydin.


Sejak empat tahun lalu, katanya, lebih 540 pembeli pangsapuri berkenaan ditipu JMB sedia ada dan ia terbongkar selepas Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memotong bekalan air ke kawasan perumahan itu selama dua hari bermula 18 September lalu.

Menurutnya, ia berlaku disebabkan kegagalan pengurusan itu membayar bil tertunggak sejak 2008 termasuk bayaran kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyebabkan notis sudah dikeluarkan 11 kali sepanjang tempoh itu.


"Kami pernah suarakan rasa tidak puas hati dan membantah tindakan itu dan pengerusi JMB membayar sebahagian daripada bil berkenaan.


"Tetapi, tidak lama kemudian, kami adakan mesyuarat agung luar biasa bagi mendesak jawatankuasa sedia ada meletakkan jawatan kerana hilang kepercayaan kepada mereka dan ketika itu kami menemui bukti semua notis terakhir TNB masih berada dalam peti surat bermakna tiada tindakan diambil," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat agung luar biasa, semalam Zainol Abideen berkata, hasil semakan pihaknya mendapati, kali terakhir mesyuarat diadakan mengikut Akta Bangunan dan Harta Bersama ialah pada 2008 dan sejak itu, tiada makluman atau ketetapan baru dibuat mengenainya.

Selain itu, lebih mengejutkan, baki terakhir akaun pengurusan tidak sampai RM40 sedangkan kutipan semasa sepatutnya berjumlah RM62,100 meliputi bayaran penyelenggaraan dan bil Syabas.


"Oleh itu, kami menuntut mereka kemukakan laporan kewangan seperti sepatutnya atau berdepan tindakan pihak berkuasa," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Pudu berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/18


MPS denda 35 premis

Posted: 17 Oct 2012 04:30 PM PDT

SELAYANG: Sebanyak 33 premis dikompaun atas pelbagai kesalahan membabitkan lesen dan kebersihan pada Operasi Bersepadu Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), semalam.

Operasi yang dijalankan di Batu 16, Rawang disertai 25 anggota penguat kuasa itu membabitkan 80 premis perniagaan termasuk kedai makan, bengkel, kedai runcit, kedai perabot dan butik.


Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Pelesenan MPS, Fazilah Ibrahim berkata, operasi itu mengenal pasti beberapa kesalahan tegar yang sering dilakukan pemilik menjalankan perniagaan tanpa lesen, tidak mempamerkan lesen perniagaan, lesen iklan tamat tempoh, meletakkan halangan di laluan awam dan tahap kebersihan tidak memuaskan.

"Sepanjang lebih tiga jam operasi, 28 premis dikompaun RM500 hingga RM1,000 bagi kesalahan lesen manakala lima premis makanan dikompaun berjumlah RM1,000 bagi kesalahan kebersihan dan kesihatan.


"MPS mengenal pasti beberapa kawasan panas antaranya Bandar Country Homes, Rawang, Bandar Baru Selayang, Taman Prima Gombak dan Grenwood sebagai lokasi premis yang masih gagal mematuhi undang-undang," katanya.


Menurutnya, bagi premis yang dikompaun, mereka diberi tempoh 14 hari untuk mengambil tindakan sewajarnya seperti perbaharui lesen atau menjelaskan bayaran kompaun bagi kesalahan dilakukan.

Katanya, pemantauan dilakukan selepas tempoh terbabit dan sekiranya pemilik premis masih ingkar, pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk menyita dan menggantung lesen perniagaan mereka.


"MPS mengadakan operasi lesen dan kebersihan ini setiap minggu bagi mengelak wujudnya premis beroperasi secara haram, sekali gus boleh menimbulkan kesalahan lain seperti masalah sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/18


Tiada ulasan:

Catat Ulasan