Rabu, 17 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Samun bayar hutang along

Posted: 16 Oct 2012 03:33 PM PDT

SHAH ALAM: Terdesak mahu mendapatkan wang untuk membayar hutang along, lima lelaki yang juga anggota 'Geng Mambau Singh' nekad menyamun tiga beranak yang juga peniaga barang kemas dan melarikan barang kemas seberat lima kilogram (kg) bernilai RM700,000 dalam kejadian di Jalan Anggerik Doritis, Kota Kemuning, dekat sini, pada 27 September lalu.

Selain membayar hutang, suspek juga menggunakan wang yang disamun untuk membeli dua motosikal secara tunai selain menggunakan wang berkenaan untuk berjoli dan membeli minuman keras.


Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 50-an bersama dua anaknya berusia 30-an tiba dari Seremban, Negeri Sembilan, bagi menyerahkan barang kemas seperti cincin dan loket yang ditempah pelanggannya yang tinggal di kawasan berkenaan sebelum disamun suspek yang bersenjatakan parang. Bagaimanapun, keempat-empat suspek bersama dua pelebur dan seorang pembeli emas ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama BSJ IPD Seremban dalam beberapa siri serbuan bermula 3 Oktober hingga sehingga 12 Oktober lalu di Shah Alam dan beberapa tempat di Seremban. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, semua suspek berusia 30-an hingga 56 tahun direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

Zahedi berkata, dengan penahanan suspek polis menemui semula dua ketulan emas seberat 780 gram bernilai RM140,000 daripada barang kemas milik mangsa yang sudah dileburkan suspek, wang RM18,950 dan dua motosikal yang dibeli secara tunai menggunakan wang jualan emas yang disamun.


Katanya, selain itu, polis merampas pelbagai peralatan untuk melebur emas yang digunakan suspek. Polis kini memburu seorang lagi anggota geng terbabit yang dikenali sebagai S Kanagaraja atau Prabu, 26, alamat terakhir di Taman Kelab Tuanku, Mambau, Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


Waris tiga bayi dicari

Posted: 16 Oct 2012 03:31 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat (PKMDHL) mencari waris atau ibu kepada dua bayi lelaki dan seorang bayi perempuan masing-masing berusia lebih sebulan.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Hulu Langat, Noor Adelin Nordin berkata, pihaknya menerima rujukan kes kanak-kanak itu yang ditinggalkan di Hospital Ampang, di sini, selepas dilahirkan.


Bayi lelaki, Daniesh Abdullah yang berusia tiga bulan ditinggalkan seorang wanita dikenali sebagai Nawiati sebaik dilahirkan dan hingga kini gagal dikesan, manakala Muhammad Raqeem Adryan lahir pada 4 Mac lalu berdepan masalah kesihatan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Mariam Maisarah lahir pada 6 September lalu pula ditinggalkan ibunya, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, nombor kad pengenalan 930803-04-5618 menghilangkan diri selepas beberapa hari melahirkannya.

Berikutan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat waris kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Noor Adelin di talian 03-87378007 atau tampil ke PKMDHL di Lot 2-58, Kompleks Hentian Kajang, Jalan Reko, Kajang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


1 ulasan: