Ahad, 14 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kerap cerita pasal mati

Posted: 13 Oct 2012 03:57 PM PDT

SERI ALAM: "Kalau kau nak barang aku simpanlah buat kenangan." Itulah kata-kata terakhir Nur Natasya Ashiqin Zulkifli, 20, seorang daripada empat mangsa terbunuh apabila dua motosikal bertembung di Jalan Masai-Kong-Kong berhampiran tanah perkuburan Kristian di sini, kira-kira jam 3 pagi semalam.

Rakannya, Nuraina Syazana Arif, 20, berkata selain kata-kata itu, dia dan rakan lain turut hairan dengan perlakuan Natasya ketika mereka berbual tiga minggu lalu apabila arwah kerap bercerita mengenai kematian.


"Natasya seorang yang periang dan gemar bergurau dengan rakan sekelas. Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu, dia lebih suka menyendiri.

"Malam sebelum kejadian, Natasya keluar bersama beberapa rakan untuk ke sebuah hotel di Pasir Gudang bagi menghadiri majlis makan malam. Dia dikatakan keluar bersama teman lelakinya selepas majlis itu selesai. Menurut rakan serumah Natasya, dia terserempak dengan kemalangan itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah tetapi tidak menyangka ia membabitkan arwah," katanya.


Nur Natasya meninggal dunia selepas motosikal dibonceng bersama teman lelakinya, Mohamad Aufa Arshad, 20, bertembung dengan sebuah motosikal lain dari arah bertentangan.


Dua lagi yang maut ialah K Thinakaran, 18, berasal dari Taman Rinting, Masai dan rakannya, S Suthan, 20, dari Pasir Gudang.

Natasya dan Aufa menunggang motosikal jenis Kawasaki 250cc manakala Thinakaran serta Suthan menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ.


Menurut Syazana, kawan serumah Natasya hanya tahu tragedi itu selepas dimaklumkan rakan lain yang menerima panggilan daripada polis memaklumkan kemalangan maut itu menggunakan telefon milik mangsa yang ditemui di lokasi kejadian.

Teman serumah Mohamad Aufa, Mohd Rais Sudarno, 20, pula berkata, malam sebelum kejadian, mangsa keluar tanpa memaklumkan tempat ditujunya dengan menunggang motosikal yang dibeli beberapa bulan lalu.


Sebelum itu, Menurut Rais, dia melihat Aufa bergembira ketika menyaksikan perlawanan bola sepak antara Kelantan dan Selangor yang berkesudahan 'The Red Warriors' menang dengan jaringan 2-0 sekali gus layak ke perlawanan akhir.


"Saya hairan kerana arwah belum pulang selepas jam 5 pagi dan hanya tahu kemalangan itu selepas dihubungi rakan yang melihat motosikal Aufa tersadai di tepi jalan pada jam 7 pagi.


"Saya hampir terduduk selepas melihat keadaan motosikal Aufa yang rosak teruk," katanya.


Sementara itu, Thinakaran tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini selepas maut dalam kemalangan itu.


Keempat-empat mangsa dihantar Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Pandan untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.


Jenazah Natasya dijangka dibawa pulang ke kampungnya di Bagai Serai, Perak, manakala Aufa di Selama. Kedua-dua mangsa adalah rakan baik sejak sekolah.


Natasya adalah pelajar semester lima Diploma Pengurusan Pelancongan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) manakala Aufa bertugas sebagai jurukimpal di Pasir Gudang.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/14


Ibu tunggal, anak ditahan tonton lumba haram

Posted: 13 Oct 2012 03:54 PM PDT

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tunggal berumur 38 tahun bersama anak perempuannya berusia 17 tahun antara 400 orang yang ditahan dalam Operasi Khas Trafik Bukit Aman di hadapan kem tentera di Jalan Padang Midin, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 6.30 petang itu, dua beranak yang berasal dari Kampung Kuala Ibai, di sini yang ketika sedang berkumpul menyaksikan aksi lumba haram sehingga mengganggu ketenteraman awam dan lalu lintas di kawasan berkenaan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis yang berpakaian preman.


Wanita bersama anaknya yang keciciran sekolah sejak berada di tingkatan dua itu bertindak memecut motosikal Yamaha Ego sebelum berpura-pura menyiram pokok bunga di kediaman penduduk berhampiran bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa. Malah, dua beranak ini juga di kenal pasti pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan bersama kelompok ramai samseng jalanan selain turut mempunyai dua saman senarai hitam.

Selain ada yang sanggup menggadai nyawa dengan menunggang motosikal secara melawan arus, seorang pendawai elektrik berusia 18 tahun dari Kampung Seberang Marang, Marang dan seorang pembantu kedai makan berusia 21 tahun dari Manir turut ditahan kerana bertindak merempuh anggota bertugas dan memandu secara merbahaya bagi meloloskan diri.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/14


Tiada ulasan:

Catat Ulasan