Selasa, 9 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Lelaki didakwa bunuh bapa kandung guna batang kayu

Posted: 09 Oct 2012 02:47 AM PDT

KLANG: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh dengan menggunakan batang kayu bapa kandungnya yang merupakan seorang kontraktor, di Pelabuhan Klang di sini pada akhir bulan lepas.

D Muthtamil, 22, didakwa membunuh S Doraisamy, 58, dengan cara memukul mangsa di kepala di rumah No.3, Lorong Sungai Sama Gagah 18C, Taman Telok Gadong Indera, kira-kira pukul 6.20 pagi pada 29 Sept.

Tertuduh yang bekerja dengan bapanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muthtamil mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah terhadapnya.


Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.


Majistret Azlinda Ahmad Sharif menetapkan 26 Nov ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Terdahulu, peguam Gerard Lazarus yang mewakili tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa sejak ditangkap anak guamnya telah dipukul serta diseksa dan tertuduh juga ada mengemukakan nama alibi kepada pihak polis tetapi sehingga kini tiada sebarang siasatan dijalankan.

Sehubungan itu, beliau memohon agar anak guamnya dibenarkan untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Azlinda kemudian membenarkan tertuduh membuat laporan polis di penjara Sungai Buloh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim.

Menurut laporan awal, mangsa ditemui mati dalam keadaan terlentang di atas lantai bilik tidurnya dengan kesan kecederaan di kepala.

Polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu juga disamun sebelum dibunuh kerana wang mangsa berjumlah RM2,500 dalam dompet hilang. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/09


Dua pegawai kastam dihukum gantung kerana edar dadah

Posted: 09 Oct 2012 01:57 AM PDT

ALOR SETAR: Dua pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismail Mansor, 43, dan Nazni Seman, 48, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Kedua-dua tertuduh yang berkhidmat dengan Unit Penguatkuasa Kastam Kuala Perlis, Perlis, didakwa secara bersama mengedar dadah jenis kanabis seberat 6,705 gram di kawasan tapak parkir lori kilang simen, Bukit Keteri, Padang Besar, Perlis pada jam 9.30 malam, 27 April 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Y.Anbananthan.


Semasa penghakiman, Mohd Zaki berkata keterangan pembelaan telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan kenyataan kedua-dua tertuduh hanya diada-adakan bagi melepaskan diri.

Sementara itu, Anbananthan ketika rayuan memaklumkan bahawa Nazni dan Ismail, masing-masing telah bertugas selama 17 dan 14 tahun dengan KDRM. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/09


Tiada ulasan:

Catat Ulasan