Sabtu, 6 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Minah Nigeria amuk ditahan

Posted: 05 Oct 2012 03:03 PM PDT

KLANG: Operasi Jabatan Imigresen Selangor di Taman Sri Bahagia, di sini, Rabu lalu, terganggu apabila seorang wanita warga Nigeria naik berang selepas dia enggan digari kerana menganggap dia tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.

Wanita berusia 45 tahun itu 'bertekak' selama kira-kira 15 minit dengan beberapa anggota imigresen dan berkeras tidak mahu digari menyebabkan suasana menjadi tegang. Namun dia akhirnya mengalah selepas diberi penjelasan oleh pegawai imigresen terbabit.


Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Selangor, Othman Montil berkata, pihaknya memberitahu wanita terbabit bahawa dia perlu digari kerana ia adalah prosedur iaitu jika mereka melakukan kesalahan, mereka perlu digari.

"Wanita itu bersama dua anaknya yang berusia lapan dan sembilan tahun ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini," katanya.


Dalam operasi yang dikenali Ops 6P bermula jam 11 malam hingga 3 pagi itu, seramai 14 warga asing termasuk dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia lapan dan sembilan tahun ditahan.


Mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan warga Indonesia, Nigeria (empat) dan seorang warga Thailand berusia lapan hingga 46 tahun.

Othman berkata, mereka diberkas atas kesalahan tinggal lebih masa di dalam negara, tidak memiliki dokumen perjalanan dan melanggar syarat pas bekerja.


"Mereka yang ditangkap akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk siasatan lanju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


Ketuk periuk halau babi

Posted: 05 Oct 2012 03:03 PM PDT

KUALA TERENGGANU: Menjadi rutin harian penduduk di Kampung Tanjung Bunut, di sini, mengetuk periuk belanga setiap kali menjelang Maghrib bagi menghalau babi yang berkeliaran dan memusnahkan tanaman mereka.

Tinjauan Harian Metro ke kampung itu semalam mendapati tanaman penduduk seperti ubi kayu, salak dan pisang dimusnahkan haiwan liar terbabit yang dikatakan mula berada di kawasan kampung seawal jam 7 malam hingga lewat pagi.


Penduduk, Zainon Abdullah, 60, berkata, setiap kali senja kumpulan babi yang dianggarkan dalam lingkungan 10 ekor kebiasaannya berkeliaran di kawasan rumahnya mencari makanan.

"Babi berkeliaran seperti ayam di halaman rumah menyebabkan saya dan cucu terpaksa mengetuk periuk belanga atau tin kosong untuk menghalau haiwan terbabit," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Zainon berkata, haiwan liar itu mula memasuki kawasan kampung sejak dua tahun lalu.


"Kami buntu untuk menangani masalah itu. Pelbagai usaha dibuat, tetapi gagal, malah jumlah babi memasuki kawasan kampung ini semakin bertambah," katanya.

Jirannya, Ismail Muda, 63, berkata, tanamannya seperti ubi kayu musnah dimakan babi yang berkeliaran di kawasan rumahnya.


"Saya menanam ubi kayu sejak enam bulan lalu dan hanya menunggu masa untuk dimakan serta dijual, tetapi semua dimusnahkan haiwan liar itu.

"Tidak cukup dengan ubi kayu, anak pisang baru ditanam turut dimusnahkan babi, malah pokok salak jiran yang sudah berbuah juga dimakan haiwan berkenaan," katanya.


A Halim Md Yasin, 43, berkata, dia kerugian lebih RM200 apabila ayam peliharaannya dibaham kumpulan babi hutan itu.


"Saya pernah kehilangan enam ekor ayam sehari dan makanan lembu yang diletakkan di dalam bekas apabila menjadi habuan kumpulan babi itu," katanya.


Dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi membendung masalah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


Tiada ulasan:

Catat Ulasan