Jumaat, 5 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Warga Kemboja tidak mengaku anak, elak pemeriksaan imigresen

Posted: 05 Oct 2012 03:26 AM PDT

MELAKA: Seorang warga Kemboja tidak mengaku seorang kanak-kanak perempuan sebagai anaknya bagi mengelak pemeriksaan imigresen.

Tukang jahit berumur 40 tahun itu sebaliknya mengaku kanak-kanak berumur enam tahun itu sebagai kanak-kanak warga Malaysia yang ditumpangkan di rumahnya di Tanjung Minyak, dalam pemeriksaan di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Melaka, Kamalludin Ismail berkata namun selepas disoal siasat dalam operasi pada pukul 1.30 pagi itu, lelaki berkenaan akhirnya mengaku kanak-kanak tersebut merupakan anaknya.

"Kanak-kanak tersebut memanggil lelaki berkenaan dengan panggilan ayah namun dinafikan olehnya sebelum kita menyoal rakannya yang lain yang turut ditahan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Beliau berkata lelaki tersebut tidak mempunyai dokumen sah dan dipercayai menafikan dia sebagai bapa kanak-kanak tersebut kerana mahu melindungi anaknya yang turut tidak mempunyai dokumen.


Kamalludin berkata pihaknya turut menahan tujuh wanita, empat lelaki dan dua kanak-kanak Kemboja di kawasan perumahan itu.

"Seorang daripada lelaki tersebut yang berusia 56 tahun ditahan kerana menjadi pelindung kepada yang lain," katanya.

Beliau berkata ketibaan imigresen di kawasan perumahan tersebut, kenderaan mereka telah dibaling dengan plastik sampah oleh penunggang motosikal yang kemudianya melarikan diri.

Beliau berkata operasi selama 10 jam yang bermula 4 petang semalam itu turut dilakukan di tiga lokasi lain iaitu dua buah kedai makan di Jalan Temenggong dan Taman Bertam Ria serta sebuah kedai runcit di Pantai Puteri Tanjung Kling.

Kamalludin berkata secara keseluruhan, kesemua 19 orang warga asing berusia antara dua hingga 56 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk dengan sengaja memberi perlindungan kepada warganegara asing yang melakukan kesalahan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05


Fasa kedua NKRA Jenayah dilancar 14 Okt

Posted: 05 Oct 2012 03:24 AM PDT

JOHOR BAHRU: Fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah dijadual dilancar di negeri ini pada 14 Okt oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pengerusi Urus Setia NKRA Bukit Aman Datuk Ayub Yaakob berkata pelancaran di negeri lain akan menyusul selepas itu.

"Sebanyak RM591 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan fasa kedua NKRA Memerangi Jenayah sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Belanjawan 2013," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut beliau peruntukan itu telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuklah menerusi sesi dialog, program 'omnipresence' (polis di mana-mana) dan tinjauan mesra Perdana Menteri.


Beliau sebelum itu hadir mesyuarat pelaksanaan NKRA bersama agensi keselamatan dan badan bukan kerajaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.


Menerusi fasa kedua, sebanyak 1,000 motosikal diperuntukkan bagi kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal yang diguna untuk memantau kawasan perumahan, kompleks perniagaan, sekolah dan kawasan tumpuan orang ramai.

Selain itu katanya, ia turut melibatkan penambahan bilangan anggota sukarelawan polis sebanyak 10,000 orang termasuk 900 orang bagi Kontinjen Johor dalam membantu membanteras jenayah secara lebih berkesan.

"Ini menunjukkan kerajaan serius dalam mengurangkan jenayah. Kita akan buktikan kepada orang ramai apa yang diumumkan itu akan sampai dan dirasai mereka sekali gus mengurangkan rasa bimbang terhadap keselamatan," katanya.

Hadir sama Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, Timbalannya Datuk Ismail Yatim dan Pengarah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Pengurangan Jenayah, Eugene Teh. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05


Tiada ulasan:

Catat Ulasan