Rabu, 3 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Petugas DBKL dipenjara dua tahun, tiga sebatan kerana mencabul kanak-kanak

Posted: 03 Oct 2012 03:16 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah mencabul seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun, tiga tahun lepas.

Majistret Adilah Mohtar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap A Kalaivanan, 29.

"Keterangan tertuduh hanya berbentuk penafian semata-mata apabila gagal membawa saksi untuk membuktikan bahawa dia berada di tempat kejadian untuk minum 'bir'," kata Adilah dalam penghakimannya.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu berkuatkuasa hari ini.


Kalaivanan didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas kanak-kanak lelaki itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya di sebuah flat di Taman Cheras Utama di sini pada 6.30 petang, 23 Feb 2009.


Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Sementara itu, mangsa ketika diberi peluang oleh mahkamah untuk menyatakan perasaannya mengenai kejadian itu, memberitahu bahawa dirinya masih dalam ketakutan dan trauma untuk keluar seorang diri.

"Saya rasa takut, malu dan kawan ejek. Lima bulan untuk hilangkan rasa trauma, saya tidak pergi sekolah sebab kawan-kawan mengejek serta tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran," katanya.

Bapa mangsa yang turut diberi peluang yang sama memberitahu mahkamah yang beliau berasa terganggu memandangkan anak lelakinya itu masih trauma dengan kejadian itu.

"Apabila nampak ramai orang, dia akan takut dan mengambil masa lama untuk hilangkan perasaan itu. Perangainya juga berubah dan cepat marah serta mudah melenting," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, namun peguam M.Mathavan yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mempertimbangkan yang anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga dan tiada rekod jenayah lampau. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


Timbalan Naib Canselor UTHM mengaku tidak salah terima suapan RM15,000

Posted: 03 Oct 2012 02:23 AM PDT

JOHOR BAHRU: Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan meminta dan menerima rasuah RM15,000 daripada seorang kontraktor, pada Disember 2010.

Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad, 52, dituduh meminta suapan itu daripada Mohamad Anal Talhah, 41, sekitar Disember 2010.

Ia sebagai dorongan melakukan suatu transaksi dengan kononnya menolong Mohamad Anal mendapatkan kerja daripada Pejabat Pembangunan dan Pengurusan harta bina UTHM.

Abdul Aziz juga dituduh menerima wang tunai berkenaan daripada Mohamad Anal, bagi dorongan sama yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, di Bank Muamalat, Cawangan UTHM, Parit Raja, Batu Pahat, pada 28 Januari 2011.


Kedua-dua pertuduhan terbabit dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.


Jika sabit kesalahan, Abdul Aziz boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Abdul Aziz yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sebut Harga B dan Ahli Lembaga Perolehan UTHM turut mengaku tidak salah atas satu pertuduhan pilihan iaitu menerima wang tunai RM15,000 terbabit daripada Mohammad Anal, pada tarikh dan menerusi akaun bank yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan terbabit mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574), membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Abdul Ghafar Ab Latif menawarkan jaminan RM30,000 terhadap Abdul Aziz.

Peguam Abdul Halem Mohamad Husin dan Shahrul Syazwan Salehin yang mewakili tertuduh bagaimanapun, merayu mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin atas alasan Abdul Aziz menanggung seorang isteri dan enam orang anak.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Nov depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


Tiada ulasan:

Catat Ulasan