Sabtu, 20 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Penyokong Kelantan maut motosikal terbabas

Posted: 20 Oct 2012 03:10 AM PDT

KUANTAN: Seorang penyokong bola sepak Kelantan maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi terbabas ketika cuba memotong kenderaan lain di Kilometer 328 Jalan Raub-Kuala Lipis dekat Raub, pagi tadi.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian pukul 9 pagi itu mangsa, Muhamad Saiful Daud, 19, dari Kampung Manek Urai Lama, Kelantan, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

"Mangsa dan rakannya dikatakan sedang dalam perjalanan ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia Kelantan bertemu ATM, malam ini," katanya di sini, hari ini.

Rakan mangsa berusia 20-an yang mengalamai cedera parah dirawat di Hospital Raub (HR), katanya.


Menurut Mohamed Fauzi, pihak polis telah memaklumkan kepada keluarga mangsa mengenai kejadian itu.


Mayat mangsa dihantar ke HR untuk bedah siasat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20


Petak pertama Moto3, hadiah hari jadi Zulfahmi

Posted: 20 Oct 2012 03:09 AM PDT

SEPANG: Wakil tunggal Malaysia dalam persaingan Moto3, Zulfahmi Khairuddin buat julung kali menyambar petak pertama menjelang perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2012 di Litar Antarabangsa Sepang, esok.

Pada sesi kelayakan hari ini, pelumba pasukan AirAsia-SIC-Ajo itu merakamkan masa terpantas dua minit 13.885 saat untuk memintas pelumba Jerman Jonas Folges (2'14.1513s) yang menduduki petak kedua.

Petak ketiga menjadi milik seorang lagi pelumba Jerman, Sandro Cortese, yang juga pendahulu Moto3 musim ini, dengan catatan 2'14.599s.

Sebelum ini, Zulfahmi pernah bermula dari petak kedua pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Catalunya, Sepanyol, Jun lepas.


Pencapaian tersebut merupakan hadiah istimewa untuk Zulfahmai yang menyambut ulang tahun kelahiranya ke-20 hari ini.


"Syukur kerana saya berjaya mendapatkan kedudukan petak pertama dan berharap dapat terus memberi saingan sehingga ke garisan penamat pada perlumbaan yang sengit esok.

"Bagaimanapun, dengan keadaan motosikal dan juga saya sendiri, saya yakin memberi saingan terbaik di barisan hadapan," katanya kepada pemberita selepas sesi kelayakan itu.

"Sebenarnya saya tidak fikir sangat pasal ulang tahun kelahiran saya hari ini. Saya cuma fikir pasal motosikal sahaja. Selepas berjaya raih petak pertama, barulah saya dapat rasakan hadiah untuk diri saya," kata Zulfahmi.

Menurut Zulfahmi, jurutera pasukannya telah membuat sedikit pelarasan suspensi kepada motosikalnya selepas sesi latihan bebas terakhir pagi tadi.

"Pelarasan suspensi motosikal amat penting di litar ini kerana keadaan litar yang agak beralun)," kata pelumba kelahiran Banting, Selangor, itu.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif SIC Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata Zulfahmai adalah pelumba pertama dalam sejarah sukan permotoran negara yang berjaya meraih petak pertama dalam mana-mana kejohanan dunia di Litar Sepang. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20


Tiada ulasan:

Catat Ulasan