Khamis, 18 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


FAM batalkan keputusan penggantungan Butler oleh PBSNT

Posted: 18 Oct 2012 05:44 AM PDT

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membatalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Terengganu (PBSNT) yang mengenakan penggantungan selama enam bulan dan denda RM4,000 ke atas bekas jurulatih mereka, Peter James Butler pada 17 Sept lepas.

Ketika mengumumkan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufik Abdul Razak berkata keputusan PBSNT itu tidak sah dan terbatal kerana tidak mengikuti prosedur yang ditetapkan termasuk tidak menyediakan kertas pertuduhan ke atas Butler.

"Mereka juga tidak mengguna pakai kod tatatertib yang digunakan oleh kita malahan menjatuhi hukuman secara rambang sahaja terhadap Butler," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut di Wisma FAM di sini, hari ini.

Butler, 46, dikenakan hukuman tersebut kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa wanita masuk ke bilik mereka tanpa terlebih dahulu melaporkannya kepada pihak pengurusan.


PBSNT yang bersidang tiga hari kemudian bertindak membatalkan kontrak jurulatih tersebut melalui sepucuk surat yang dihantar kepadanya.


Keputusan pembatalan tersebut membolehkan jurulatih berbangsa Inggeris dari Halifax, Ireland itu memperoleh semula kontraknya yang masih berbaki sehingga Disember 2013.

Mengulas lanjut, Taufik berkata pihaknya turut membatalkan keputusan oleh Jawatankuasa Disiplin PBSNT itu kerana kehadiran individu yang mempunyai kepentingan dalam skuad Penyu sewaktu perbicaraan ke atas Butler dijalankan pada September lepas.

Taufik berkata PBSNT boleh mengemukakan rayuan berhubung keputusan badan induk bola sepak negara itu kepada Jawatankuasa Status Pemain yang dipengerusikan oleh Datuk Takiyuddin Hassan.

"Bidang tugas kita hanyalah mendengar keputusan rayuan yang dibawa oleh jurulatih tersebut sahaja (Peter James Butler)," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/18


Perkhidmatan KTMB alami gangguan berikutan kegelinciran gerabak tren komuter

Posted: 18 Oct 2012 05:40 AM PDT

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan komuter, tren elektrik (ETS) dan antara bandar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi perjalanan utara dan selatan mengalami gangguan mulai hari ini hingga Sabtu berikutan kegelinciran gerabak tren komuter di sini, semalam.

Pengurus Kanan Bahagian Khidmat Pelanggan Komuter KTM Shahril Sahak berkata tiga set gerabak tren komuter tergelincir antara Stesen Simpang Batu dan Stesen Putra pada 10.55 malam.


Berikutan insiden itu, semua perkhidmatan tren KTMB terpaksa mengalami perubahan masa perjalanan antara 15 minit hingga sejam, katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.


Shahril berkata ini kerana semua tren terpaksa menunggu giliran untuk berkongsi landasan dari Stesen Putra ke Stesen Bank Negara sebelum ke destinasi masing-masing.

Beliau juga berkata kerja memperbaiki landasan antara Stesen Simpang Batu dan Stesen Putra sedang giat dijalankan serta dijangka siap sepenuhnya esok.

Katanya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan KTMB akan memeriksa landasan yang diperbaiki esok malam sebelum ia dapat digunakan sepenuhnya pada pagi Sabtu.

"KTMB akan memaklumkan dari semasa ke semasa sebarang status terkini mengenai perkhidmatannya," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/18


Tiada ulasan:

Catat Ulasan