Rabu, 17 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Warga emas dipukau, barang kemas RM20,000 lesap

Posted: 17 Oct 2012 03:25 AM PDT

KULIM: Seorang warga emas, Siti Shamsiah Ahmad, 60, kerugian lebih RM20,000 apabila barangan kemasnya dilarikan seorang wanita yang dipercayai telah memukau mangsa di pasar pagi Padang Serai dekat sini, Jumaat lalu.

Siti Shamsiah dari Kampung Keladi di sini berkata ketika kejadian dia asyik memerhati seorang penjual ubat tradisional di pasar itu sebelum didatangi seorang wanita kira-kira jam 10.45 pagi.

Katanya, wanita itu menghampirinya dan memberitahu dia sakit mata sambil menunjukkan matanya kepada Siti Shamsiah sebelum beredar secara tiba-tiba.

"Ketika saya nak ambil wang daripada dompet untuk bayar harga ubat tradisional, saya terkejut apabila sebuah lagi dompet kecil dalam beg tangan saya hilang," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.


Katanya dalam beg yang hilang itu terdapat seutas rantai tangan, dua utas rantai leher, dua bentuk loket, 10 biji mutiara, sepasang anting-anting berlian dan sebuah jam tangan.


Beliau dan suami kemudiannya membuat laporan mengenai kehilangan barang-barang kemas tersebut pada hari sama di Balai Polis Padang Serai di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membawa barang kemas yang banyak bersama mereka semasa membeli keperluan harian di pasar. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


Mayat lelaki yang lemas di lombong tinggal ditemui

Posted: 17 Oct 2012 02:33 AM PDT

IPOH: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan lemas ketika menjaring ikan di lombong tinggal di Kota Bharu, Gopeng pagi semalam ditemui terapung di lombong berkenaan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata mayat Mohamad Suhaimi Harun, 27, ditemui pada pukul 7.15 pagi tadi oleh unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Katanya kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi semalam ketika mangsa bersama adiknya pergi ke lombong yang terletak berhampiran dengan rumah mereka untuk menjala ikan.


"Mohamad Suhaimi dikatakan tergelincir ketika menjala ikan di tepi lombong berkenaan lalu tenggelam dan adiknya cuba membantu menyelamatkannya tetapi gagal, lalu dia pulang ke rumah untuk meminta bantuan keluarganya," katanya ketika dihubungi hari ini.


Katanya polis telah mengadakan operasi mencari dengan bantuan unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat dan sehingga tengah malam tadi mangsa gagal ditemui.

Mayat mangsa kemudian ditemui timbul dipermukaan lombong pagi ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17


Tiada ulasan:

Catat Ulasan