Selasa, 16 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Gangguan bekalan air di Klang, Kuala Langat dijangka pulih dalam masa dua hari

Posted: 16 Oct 2012 04:30 AM PDT

SHAH ALAM: Sebahagian daripada 113,345 pengguna air di beberapa kawasan di Klang dan Kuala Langat hari ini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan kejadian paip pecah di lokasi jajaran paip bersaiz 1,300mm dari Lam Bee ke Lipat Kajang.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred berkata pihaknya mengesan kejadian itu tengah malam tadi dan tindakan pantas diambil dengan menutup injap bekalan air serta merta pada jam 1 pagi.

"Ekoran kejadian itu, dianggarkan sebahagian daripada 113,345 akaun pengguna pada masa ini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual khususnya di kawasan berkedudukan jauh dan tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kawasan terlibat di Klang adalah seperti berikut:


Bukit Tinggi 1; Bukit Tinggi 2; Bandar Parklands; Bandar Botanik; Ambang Botanik; Jalan Batu Unjur; Jalan Kim Chuan; Taman Bayu Perdana; Bandar Puteri; Industri Megahub; Taman Kota Permai; Pendamar Indah; Taman Andalas; Taman Sentosa; Jalan Tun Razak; Jalan Raja Nong; Jalan Uganda; Jalan Penghulu Abu Bakar; Taman Petaling; Taman Selatan; Taman Chi Liung; Taman Palm Grove; Teluk Gedung Indah A; Kampung Pendamar.


Ini termasuk Persiaran Raja Muda Musa; Jalan Tengku Badar; Jalan Kastam; Pandamaran; Hospital Tengku Ampuan Rahimah; Teluk Gedung Besa; Sobena Jaya; Kampung Delek; Sungai Bertik; Sungai Udang; Jalan Istana; Jalan Limau; Jalan Raja Jumaat; Jalan Langat; Kampung Lombong; Kampung Batu 7; Jalan Kebun; Kampung Johan Setia; Jalan Johan Setia; Berjaya Park; Pulau Indah Fasa 1; Pulau Indah Fasa 2; Kampung Pulau Indah; Armada Putera; Wet Port, Kampung Telok Gong; Pulau Ketam; Banting; Taman Eng Ann; Berkeley dan Bandar Baru Klang.

Sementara kawasan yang terlibat di Kuala Langat ialah Telok Panglima Garang dan Sijangkang.

Priscilla berkata sehingga kenyataan ini dikeluarkan, kontraktor Syabas masih menjalankan kerja-kerja mengorek paip dan mengalami sedikit kesukaran disebabkan lokasi paip itu berada pada kedudukan yang dalam.

"Syabas menjangkakan kerja membaiki paip pecah itu akan siap tengah malam ini dan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat ke semua kawasan terlibat dan kembali seperti sedia kala dalam masa dua hari," katanya.

Beliau berkata, Syabas dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, memaklumkan mengenai gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Klang berikutan penurunan paras tiga buah kolam utama iaitu Kolam Bukit Mayong, Kolam Lam Bee dan Kolam Lipat Kijang disebabkan kerosakan injap di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 2.

Katanya, memandangkan terdapat sebahagian kawasan terlibat dengan kejadian paip pecah hari ini adalah sama dengan kawasan yang terlibat dengan kejadian semalam, Syabas menjangkakan tempoh pemulihan bekalan air sepenuhnya ke semua kawasan terlibat akan mengambil masa dua hari.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga menggerakkan enam buah lori tangki ke kawasan terlibat sebagai bantuan bekalan air bagi mengurangkan beban kepada pengguna.

Priscilla turut menasihatkan pengguna air di kawasan terlibat supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh pembaikan paip itu.

Mereka yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual itu diminta menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol, 1-800-88-5252. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16


Tiga lelaki bersenjatakan kayu panjang samun kedai serbaneka

Posted: 16 Oct 2012 04:22 AM PDT

KUANTAN: Sebuah kedai serbaneka 24 jam di Indera Mahkota di sini disamun tiga lelaki bersenjatakan kayu panjang, awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Abdul Aziz Ahmad berkata kejadian berlaku jam 2 pagi dan ketika itu ada pekerja lelaki dan wanita, masing-masing berusia 23 dan 20 tahun di premis tersebut.

"Kedua-dua pekerja berkenaan sedang mencuci mesin air apabila mereka tiba-tiba didatangi dua suspek memakai topeng manakala seorang lagi tidak menutup muka yang memegang sebatang kayu panjang.

"Suspek mengacukan kayu itu ke arah mangsa sebelum mengambil 20 kotak rokok jenama Dunhill, wang tunai RM60 dan sebuah telefon bimbit bernilai RM300 milik mangsa (lelaki)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Suspek kemudian melarikan diri, katanya menambah polis kini giat mengesan kesemua lelaki berkenaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16


Tiada ulasan:

Catat Ulasan