Isnin, 8 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


PAS tak tepati Islam

Posted: 08 Oct 2012 04:22 PM PDT

Tersasar perjuangan asal kerana ikut kehendak DAP

Georgetown: Perjuangan politik PAS kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata ahli seumur hidup parti itu, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, (gambar).

Beliau yang juga Sasterawan Negara berkata, apa yang dilakukan PAS sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana PAS sepatutnya memimpin dalam memperjuangkan Islam.
Bercanggah cara Rasulullah

Shahnon berkata adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama PAS dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam, kalau mereka hendak bekerjasama dengan PAS," katanya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Sik, berkata dasar PAS sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.
DAP menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam seperti yang dimahukan PAS.

Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukan seperti kerjasama PAS dan DAP kerana ketika itu Islam memerintah dan memimpin mereka.

E-novel Mahabbah

Terdahulu itu, beliau menghadiri perasmian pameran 'Shahnon Ahmad dalam Media, Persidangan Kebangsaan Shahnon Ahmad dalam Sastera, Budaya, Media' dan pelancaran buku serta prototaip e-novel Mahabbah di USM, semalam.

Menyentuh e-novel Mahabbah, Shahnon berkata ia mengenai perjuangan seorang tua yang tiada kuasa tetapi ada hati menyatupadukan orang Melayu menerusi doanya kepada Allah. E-novel itu turut melambangkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum tetapi bersatu untuk hidup damai dan harmoni. - BERNAMA

Ciuman akhir jadi kenangan

Posted: 08 Oct 2012 04:20 PM PDT

Masjid Tanah: Seorang pelajar mencium pipi ibunya berulang kali sebelum bergegas pulang ke Kolej Komuniti Masjid Tanah dan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Kampung Durian Daun, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 8 pagi apabila motosikal yang ditunggang Nurul Nabilah Daud, 18, dari Kampung Lendu, terbabas lalu merempuh kereta berkenaan.

Ibu mangsa, Rosnah Sulong, 59, berkata dua hari sebelum kejadian, anaknya itu juga ada menyatakan hasrat untuk tidur di rumah seorang rakannya kerana sebelum itu tidak pernah berbuat demikian.
Ungkapan terakhir

"Tanpa membantah, saya benarkan. Pagi tadi (semalam) ketika saya mengaji, dia peluk dan cium pipi saya. Dia beritahu sudah terlambat dan tak sempat nak sarapan serta perlu segera pergi.

"Tak sangka, ungkapan terakhir itu petanda dia hendak pergi meninggalkan kami untuk selamanya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Rosnah berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu, beliau bersama seorang lagi anak lelakinya bergegas menunggang motosikal ke lokasi kejadian yang letaknya kira-kira empat kilometer dari kediamannya di Kampung Lendu.
Sedih

"Setiba di sini, saya terus mencari anak saya sebelum ditunjukkan sekujur tubuh yang ditutup kain putih di atas jalan. Hati saya bagaikan luluh bila dimaklumkan Nurul sudah tiada," katanya yang meraung sebelum ditenteramkan oleh orang ramai dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Rosnah hampir pengsan selepas pitam akibat tidak dapat menerima kematian anak perempuannya itu, sebelum dipapah oleh anak dan ahli keluarganya yang lain.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Lendu ke tempat dia belajar.

Katanya, apabila melalui satu selekoh di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang pelajar itu dipercayai tiba-tiba hilang kawalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan