Sabtu, 6 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


'Mandat besar penting'

Posted: 06 Oct 2012 06:33 PM PDT

Keputusan PRU13 bantu capai visi bentuk negara maju menjelang 2020: PM

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berharap beliau akan diberikan mandat yang besar pada pilihan raya umum akan datang untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, tempoh lima tahun akan datang amat penting bagi kerajaan untuk menunaikan janji dan komitmen yang dibuat oleh pemimpin terdahulu kepada negara.

"Saya ingin mendapat mandat besar, kerana bagi mencapai visi kami menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, tempoh lima tahun akan datang ini akan menjadi sangat penting." Datuk Seri Najib Razak

"Saya ingin mendapat mandat besar, kerana bagi mencapai visi kami menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, tempoh lima tahun akan datang ini akan menjadi sangat penting. Sangat penting kerana anda bercakap mengenai pusingan akhir.

"Anda bercakap mengenai bahagian terakhir ini dan ia adalah bahagian paling penting kerana kami benar-benar perlu untuk melaksanakannya," katanya bercakap dalam satu temu bual dengan 'CNBC Conversation' yang dihoskan pengacara terkenal Martin Soong yang disiarkan melalui Astro CNBC (Saluran 518) semalam.

Najib berkata demikian sebagai menjawab soalan betapa pentingnya pilihan raya umum akan datang baginya dan kepentingan bagi mendapat mandat semula, terutama bagi mentransformasi Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

Katanya, transformasi adalah komitmen tegas yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal 90-an dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi melaksanakan sebahagian daripadanya, dan kini giliran beliau untuk menunaikannya.
Menjawab satu soalan, Najib, yang juga Menteri Kewangan, bersetuju bahawa mencapai pertumbuhan ekonomi yang lestari dan inklusif tanpa menjejaskan terlalu banyak landskap politik adalah satu daripada cabaran untuk menjadi sebuah negara maju.

Agih hasil pendapatan

Bagaimanapun, beliau menegaskan kunci untuk menjadikan masyarakat lebih saksama adalah dengan mendapatkan pertumbuhan bagi mengagihkan semula hasil pendapatan itu kembali kepada rakyat.

Dalam temu bual setengah jam itu, Najib berkata usaha (untuk menjana pertumbuhan) itu dapat dilaksanakan dan jumlah itu kelihatan lebih positif, terutama dengan penyertaan Bumiputera.

"...tapi ia bukan hanya mengenai jumlah ekuiti. Kita juga perlu memastikan bahawa ada pengagihan pendapatan yang adil antara pelbagai tahap pendapatan dalam negara ini," katanya.

Najib berkata, Malaysia sedang menuju ke arah pengamalan demokrasi yang lebih matang dan bertenaga dengan kerajaan mengambil langkah sewajarnya bagi membenarkan rakyat menggunakan hak asasi mereka dalam konteks perundangan negara.

Menjawab berapa siri bantahan terhadap kerajaan dan penurunan penarafan populariti beliau dan keanggotaan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, Perdana Menteri berkata Malaysia tiada beza dengan negara lain.

Janji kepada rakyat

"Anda tahu, demokrasi turut berlaku di Amerika, Eropah, Jepun, Korea, mahupun di Hong Kong. Adakah ia sesuatu yang luar biasa?. Ia bukan.

"Pada hakikatnya, transformasi politik adalah sebahagian daripada janji saya kepada rakyat bahawa kita sedang bergerak ke arah demokrasi yang lebih matang dan bertenaga," katanya.

Perdana Menteri memetik penggantian Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) 1960 dengan Akta Perhimpunan Aman sebagai salah satu langkah kerajaan untuk menyatakan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai hak untuk meluahkan pendapat masing-masing. - BERNAMA

Eksklusif: Tanggung caj mahal SMS tak dilanggan

Posted: 06 Oct 2012 06:33 PM PDT

Kuala Lumpur: Pemilik telefon bimbit yang memberi nombor telefon kepada pihak tidak dikenali terutama sewaktu mengisi borang kajian di pusat beli-belah terdedah kepada penipuan, termasuk dikenakan caj pembekal perkhidmatan langganan.

Untuk berita penuh dapatkan naskhah BH Ahad, di pasaran hari ini


Tiada ulasan:

Catat Ulasan