Rabu, 3 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Bajet 2013: Tak pinggir golongan sederhana

Posted: 03 Oct 2012 04:12 PM PDT

Nikmati pengurangan cukai, Program rumah Pertamaku: PM

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan meminggirkan golongan berpendapatan sederhana dalam pembentangan Bajet 2013.

Perdana Menteri berkata, mereka tidak diketepikan, sebaliknya menikmati manfaat termasuk pengurangan cukai individu sebanyak satu peratus dan manfaat menerusi Program Rumah Pertamaku.

"Kalaulah ada pihak yang melabelkan ini sebagai bajet pilihan raya, itu tidak benar kerana pada asasnya ini adalah bajet yang secara asasnya adalah bertanggungjawab. - Datuk Seri Najib Razak

"Kita juga memberikan kemudahan lain yang boleh menguntungkan mereka seperti Rumah Pertamaku... dan beberapa langkah lain. Jadi, golongan pertengahan sebenarnya tak diketepikan kerana kita berikan apa yang termampu," katanya pada sesi secara langsung #TanyaNajib 2013 melalui Google+ Hangout dan laman web YouTube, malam tadi.

Individu terpilih

Lima individu terpilih untuk berinteraksi secara langsung dihoskan pengacara televisyen, Suhaimi Sulaiman bermula jam 9 malam yang turut membuka soalan kepada umum mener usi laman Twitter dan Facebook.

Sesi disertai Angelica dari Miri, Sarawak; Asyraf Adlan dari Bukit Jelutong, Shah Alam; Lee Yong Lik dari London, Michael Teoh Prai, Pulau Pinang dan P Prajesh dari Sungai Petani, Kedah.
Najib turut menjelaskan Bajet 2013 bukan bajet pilihan raya, sebaliknya disediakan secara kebetulan dan menjadi bajet terakhir kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Kalau kita labelkan sebagai bajet pilihan raya ia membawa konotasi seolah-olah kita ketepikan segala prinsip asas iaitu bajet yang berhemah, berimbang dan bertanggungjawab semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

Bajet bertanggungjawab

"Kalaulah ada pihak yang melabelkan ini sebagai bajet pilihan raya, itu tidak benar kerana pada asasnya ini adalah bajet yang secara asasnya adalah bertanggungjawab.

"Ini disebabkan defisit semakin berkurang. Kalau defisit bertambah mungkin ada asas. Malah, saya melihat analisis ekonomi dari dalam dan luar tidak ada yang kata ia bajet yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Ketika ditanya rasional rebat pembelian telefon pintar 3G, Najib menjelaskan langkah itu bagi mengiktiraf peranan penting golongan muda dan mengenal pasti cita rasa mereka.

'Desak lupus hutang rumah'

Posted: 03 Oct 2012 03:59 PM PDT

Shah Alam: Lebih 200 wakil penduduk rumah pangsa di Seksyen 7, 16, 18 dan 20, di sini meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melupuskan hutang pembeli kediaman terbabit yang bernilai RM19 juta.

Mereka berpendapat jika benar PKNS membantu kerajaan negeri melangsaikan hutang Talam Corporation Berhad (TALAM) sebanyak RM392 juta, ia juga patut membantu mengambil alih hutang penduduk yang berpendapatan rendah di Selangor.

Kotakan janji

"Saya hendak mereka tunaikan janji hendak bantu rakyat Selangor yang susah. Sekarang ini kami susah dan saya dengar kerajaan negeri banyak duit. Apa salahnya jika tolong jelaskan hutang kami dengan bank yang hanya beberapa juta ringgit saja," - R Yogeswaran, penduduk Seksyen 7.

Penduduk rumah pangsa Seksyen 18, Husni Dollah, 53, berkata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu mengotakan janji pilihan raya untuk membantu golongan berpendapatan rendah di negeri itu, terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Katanya, golongan terbabit tidak mampu melangsaikan hutang perumahan mereka dengan bank sehingga banyak rumah yang terpaksa dilelong.

"Sebagai contoh, setiap bulan saya membayar ansuran bulanan sebanyak RM500 dan hutangnya dengan bank masih berbaki kira-kira RM25,000," katanya selepas menyerahkan notis tuntutan kepada Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim, di sini, semalam.

Bantahan kali kedua
Bantahan semalam adalah kali kedua selepas hampir 100 penduduk sekitar Shah Alam, Kelana Jaya dan Petaling Jaya, yang juga pembeli rumah yang dibina PKNS menyertai bantahan di Ibu Pejabat PKNS, Seksyen 13, di sini, Isnin.

Pendapat sama dikongsi penduduk di Seksyen 7, R Yogeswaran, 42, yang mahu kerajaan negeri mengambil serius tuntutan mereka, yang sebelum ini memberi sepenuh kepercayaan untuk kerajaan Selangor sekarang mentadbir kerana yakin dengan janji yang dibuat ketika pilihan raya lalu.

"Saya hendak mereka tunaikan janji hendak bantu rakyat Selangor yang susah.

"Sekarang ini kami susah dan saya dengar kerajaan negeri banyak duit. Apa salahnya jika tolong jelaskan hutang kami dengan bank yang hanya beberapa juta ringgit saja," katanya.

Sementara itu, wakil pertubuhan kebajikan penduduk yang dikenali Perikatan Prihatin Malaysia, Saiful Yazan Abu Hassan berkata, satu perhimpunan besar-besaran membabitkan penduduk berpendapatan rendah yang membeli rumah dengan pemaju hartanah itu akan diadakan dalam tempoh terdekat jika Menteri Besar gagal memenuhi tuntutan pembeli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan