Rabu, 17 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Harga rumah lebih murah

Posted: 17 Oct 2012 03:35 PM PDT

REHDA yakin boleh dikurangkan 10 peratus
Kuala Lumpur: Kerajaan sedang menimbang untuk membiayai kos infrastruktur bagi membolehkan pemaju swasta membina lebih banyak rumah di bawah harga pasaran.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau sudah meminta Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) berbincang dengan pemaju swasta untuk menyediakan model kedua pembinaan lebih banyak rumah mampu milik.

Kita boleh melakukannya cepat jika ada pemaju swasta yang bersedia menyertai satu bentuk perjanjian kerjasama dengan PR1MA; maka rumah itu boleh dimasukkan di bawah model kedua yang saya sebutkan," - Datuk Seri Najib Razak


"Kita boleh mengadakan perjanjian sedemikian. Kita (kerajaan) akan menyediakan jumlah tertentu bagi kos infrastruktur, dengan syarat pemaju swasta membina rumah yang lebih rendah harganya berbanding harga pasaran," katanya.

REHDA sambut baik Najib menjawab soalan penyampai radio, Chui Ling dan Jentzen mengenai isu harga rumah, yang dikatakan mahal di Lembah Klang dalam temubual selama sejam program pagi radio 'Morning Boss', Melody FM di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri Michael Yam yang dihubungi BH mengenai perkara itu berkata, jika kerajaan boleh menampung kos keseluruhan pembinaan infrastruktur, harga rumah boleh dikurangkan sehingga 10 peratus.
Beliau yang menyambut baik hasrat itu, berkata dalam kos pembinaan perumahan, 10 peratus adalah untuk pembinaan infrastruktur.

"Tapi jika sebahagian saja kos berkenaan ditanggung kerajaan, harga rumah mungkin dapat diturunkan sekitar lima hingga 10 peratus. Selain itu, lokasi sesebuah projek perumahan juga memainkan peranan dalam perkara ini," katanya.

Buka pendaftaran

Perdana Menteri dalam program itu juga menjelaskan kerajaan akan membelanjakan RM500 juta untuk membina 80,000 rumah di lokasi utama di seluruh negara dan pembinaannya dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, kerajaan akan membuka pendaftaran bagi rumah PR1MA sebaik kawasan untuk membina rumah mampu milik dikenal pasti.

"Tetapi kita boleh melakukannya cepat jika ada pemaju swasta yang bersedia menyertai satu bentuk perjanjian kerjasama dengan PR1MA; maka rumah itu boleh dimasukkan di bawah model kedua yang saya sebutkan.

"Kami akan menyediakan peruntukan kerajaan untuk membiayai kos infrastruktur dan mereka boleh menjual rumah itu pada harga lebih rendah kepada orang ramai.

"Jadi saya harap pemaju perumahan mendengar siaran stesen radio ini pagi ini. Datang dan berbincanglah dengan kami sama ada anda boleh menyertai dalam model kedua ini supaya lebih banyak rumah mampu milik dibina untuk orang ramai," katanya.

Iktiraf pendidikan Cina

Dalam isu lain, Najib berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara di luar China yang mengiktiraf pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

"Kita telah mengiktiraf pendidikan Cina di Malaysia, dan saya fikir ia adalah besar, mempunyai kepentingan yang besar.

"Sila lihat dalam konteks itu, dalam perspektif bahawa kita telah mengiktiraf pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem (pendidikan) kebangsaan," katanya.

Malaysia tawar kepakaran basmi kemiskinan

Posted: 17 Oct 2012 03:25 PM PDT

Malaysia menawarkan kepakaran dalam bidang pembasmian kemiskinan, pendidikan dan pembangunan belia kepada negara anggota Dialog Kerjasama Asia (ACD).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program itu boleh disediakan melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), Kementerian Luar untuk melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang tertentu.

Tawar latihan perguruan

Bagaimanapun, bantuan itu bukan dalam bentuk sumbangan modal tetapi kepakaran," - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

"Program ini sudah lama wujud, Malaysia mahu negara anggota ACD memanfaatkannya. Kita tawarkan bidang pendidikan melalui kepakaran latihan perguruan, kurikulum dan bidang berkaitan pendidikan," katanya pada Sidang Kemuncak Pertama ACD 2012 di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia membuat kenyataan itu dalam dialog dengan 32 Ketua Negara dan Ketua Kerajaan ACD.

Muhyiddin berkata, Malaysia juga bersedia membantu negara miskin dan membangun melalui projek membasmi kemiskinan.

"Jika lihat latar belakang negara Asia, ada yang kaya dan miskin. Malaysia mempunyai pengalaman kerana ketika mencapai kemerdekaan, hampir 70 peratus rakyat Malaysia miskin.
"Kini kadar kemiskinan turun tiga hingga empat peratus saja. Jadi pengalaman lebih 55 tahun yang Malaysia ada itu dapat membantu negara miskin.

"Bagaimanapun, bantuan itu bukan dalam bentuk sumbangan modal tetapi kepakaran," katanya.

Dialog lebih besar

Muhyiddin berkata, ketika dunia bergelut dengan isu ekonomi, politik dan keselamatan, forum seperti ACD perlu mengambil pendekatan baru memupuk dialog yang lebih besar, bertolak ansur dalam persefahaman antara negara.

Katanya, Malaysia kini mempromosikan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang komited menggalakkan keamanan yang berkekalan dan saksama sejajar dengan prinsip keadilan, kecemerlangan dan keseimbangan sejagat.

Selain itu, beliau berkata, pembaharuan menyeluruh sistem kewangan antarabangsa perlu mempunyai sistem amaran awal dan mekanisme bagi penyelarasan, selain perkongsian maklumat bagi menghindari sebarang krisis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan