Jumaat, 19 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Pengkhianat parti segera disingkir

Posted: 19 Oct 2012 04:48 PM PDT

UMNO tubuh jawatankuasa khas pantau perbuatan sabotaj

Kuala Lumpur: UMNO menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau dan mengambil tindakan segera terhadap ahli yang mengkhianati dan mensabotaj parti dan calon Barisan Nasional (BN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) itu, berkata jawatankuasa khas itu perlu supaya siasatan dan tindakan segera diambil terhadap pengkhianat parti.

Sebelum ini memang ada ahli dikenakan tindakan tetapi siasatan dan tindakan diambil selepas berbulan-bulan lamanya. Oleh itu, kita nak pastikan tindakan tegas dan segera diambil," - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak

Perinci definisi sabotaj Jawatankuasa yang akan diketuai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail itu akan memperincikan definisi sabotaj dan khianat supaya semua pihak jelas mengenai kesalahan yang boleh disabitkan seperti menyokong parti lawan, menghasut untuk menentang parti dan salahguna wang.

Najib berkata, MT juga setuju melantik beberapa ahlinya yang tidak berkepentingan, ahli Lembaga Disiplin dan orang tertentu untuk menganggotai jawatankuasa itu.

"Jawatankuasa khas ini mencerminkan hasrat dan pendirian kita untuk memastikan tindakan dikenakan terhadap sesiapa yang mengambil tindakan atau melakukan sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan parti," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato' Onn, di sini, semalam.

Penubuhan Jawatankuasa Khas itu selaras Fasal 10.15 yang dibaca bersama Fasal 20.3 Perlembagaan UMNO.
Ambil tindakan

Menjelaskan lebih lanjut, Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu juga berkuasa mengenakan tindakan seperti menggantung, memecat dan semua hukuman dalam fasal berkenaan.

Najib berkata, jawatankuasa itu juga akan menentukan tempoh siasatan dan tindakan yang akan dikenakan terhadap ahli yang disiasat.

"Sebelum ini memang ada ahli dikenakan tindakan tetapi siasatan dan tindakan diambil selepas berbulan-bulan lamanya.

"Oleh itu, kita nak pastikan tindakan tegas dan segera diambil," katanya.

Pecat automatik

Menjawab soalan ahli yang bertanding sebagai calon Bebas, Najib berkata: "Automatik akan dipecat, malah tidak boleh ambil balik sebagai ahli."

Perdana Menteri berkata, seorang ahli pada peringkat bahagian UMNO akan turut dilantik untuk memberi laporan kepada jawatankuasa pemantau dan jawatankuasa khas itu.

Serah laporan terus

"Ahli pada peringkat bahagian itu juga perlu menyerahkan laporan terus kepada ibu pejabat dan secara online.

"Kadang-kadang bahagian (UMNO) baik tetapi ada seorang dua buat perangai dan tindakan tidak elok selain melanggar disiplin parti," katanya.

Mengenai PRU, beliau berkata, jentera berjalan lancar seperti diarahkan supaya persiapan lebih mantap.

1,681 jururawat kolej swasta dapat kerja

Posted: 19 Oct 2012 04:34 PM PDT

Pengambilan diteruskan sehingga 6,724 diserap ke hospital kerajaan

Kuala Lumpur: Seramai 1,681 daripada 8,000 jururawat lulusan kolej swasta yang menganggur akan diserapkan di sebanyak 130 hospital kerajaan bermula akhir tahun ini.

Pengambilan akan diteruskan sehingga 6,724 jururawat diserap ke hospital kerajaan menjelang 2015 dan bakinya dicadang mengikuti skim penempatan singkat atau skim latihan 1Malaysia (SL1M) bagi membolehkan mereka bekerja dengan hospital swasta, termasuk di luar negara.

Kementerian juga sedang mengkaji untuk memperkenalkan skim penempatan singkat untuk jururawat yang masih menganggur bagi meningkatkan kemahiran," - Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia sebahagian langkah jangka pendek yang diluluskan kabinet bagi mengatasi masalah pengangguran jururawat lulusan kolej swasta sejak beberapa tahun lalu.

Penuhi keperluan

Langkah ini juga bagi memenuhi keperluan kementerian yang memerlukan sehingga 12,000 jururawat untuk mengisi kekosongan serta keperluan di hospital kerajaan bagi tempoh empat tahun akan datang.

"Ini bermakna separuh daripada keperluan jururawat negara akan diisi jururawat lepasan kolej swasta.
Penempatan singkat

"Kementerian juga sedang mengkaji untuk memperkenalkan skim penempatan singkat untuk jururawat yang masih menganggur bagi meningkatkan kemahiran.

"Kita juga cadangkan mereka mengikuti SL1M untuk nilai tambah serta kemahiran diri bagi membolehkan mereka bekerja di hospital swasta termasuk luar negara," katanya kepada BH.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam pada 8 Oktober lalu berkata seramai 8,000 lepasan kejururawatan gagal mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan dan swasta kerana ketidakseimbangan peluang pekerjaan dan mutu lepasan jururawat yang rendah.

Anggaran kasar

Bagaimanapun, Tiong Lai berkata angka itu adalah anggaran kasar dengan jumlah yang mendaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kira-kira 5,400 orang.

Bagaimanapun, menurut Liow kerajaan menyedari isu itu, malah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membekukan sementara pembukaan kolej baru yang menawarkan pengajian dalam bidang kejururawatan sejak tahun lalu.

Tingkat kelayakan

"Kita juga menaikkan kelayakan akademik mereka yang mahu mengikuti kursus kejururawatan daripada tiga kredit kepada lima kredit bagi mengehadkan pengambilan pelatih baru," katanya.

Ketika ini, 68 kolej swasta mengeluarkan purata 8,000 jururawat setahun dengan 2,000 orang lagi adalah keluaran 33 kolej kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan