Khamis, 4 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Insentif belanjawan 2013 lonjak semangat warga ATM: Panglima Tentera Udara

Posted: 04 Oct 2012 03:27 AM PDT

PETALING JAYA: Pelbagai insentif dan peruntukan yang diumumkan kerajaan melalui Belanjawan 2013 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mampu melonjakkan lagi semangat warga tentera untuk bekerja lebih gigih.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, peruntukan itu membuktikan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan seluruh warga ATM dalam mendepani cabaran mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa mengiktiraf jasa dan pengorbanan warga tentera dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.
"Kelengkapan dan kemudahan yang diberi amat kami sanjung tinggi dan berjanji akan terus berkhidmat dan berbakti demi negara tercinta," katanya pada program mesra Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM Subang di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 mengumumkan bayaran insentif khas RM200 sebulan kepada 125,708 pegawai dan anggota ATM bermula 1 Jan depan melibatkan peruntukan sebanyak RM301 juta.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan pemberian sumbangan RM1,000 secara 'one-off' atau dibayar sekali saja kepada 224,000 anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan selepas berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen, serta memperuntukkan RM12 juta bagi memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat.

Skim itu dijangka akan memberi had perlindungan maksimum sehingga RM15,000 kepada hampir 242,000 anggota tentera dan polis yang sedang bertugas.
Mengulas lawatan Muhyiddin, Rodzali berkata, beliau mewakili warga ATM dan TUDM khasnya amat berbesar hati atas kesudian timbalan perdana menteri meluangkan masa mendekati pasukan itu di sebalik jadual harian yang padat.

"Selain peruntukan dan insentif yang telah diumumkan, kehadiran timbalan perdana menteri membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dan dekat dengan pasukan keselamatan ini," katanya. - BERNAMA

Kerajaan komited bendung masalah sosial babit remaja melalui pelbagai program: Najib

Posted: 04 Oct 2012 03:18 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited membendung masalah sosial terutama membabitkan remaja seperti ketagihan dadah, alkohol, perjudian haram dan jenayah siber melalui pelbagai program antaranya dalam bentuk kaunseling, perlindungan serta pemulihan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, gejala itu perlu dibendung demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil adalah penubuhan Kuala Lumpur 'Krash Pad' (KLKP) di kawasan Chow Kit yang berfungsi sebagai tempat selamat kepada remaja di kawasan berkenaan.
"KLKP ditubuhkan bagi remaja berumur antara 13 hingga 21 tahun dan selain sebagai tempat selamat, KLKP turut berfungsi sebagai tempat remaja terbabit mendapatkan bimbingan dan didikan melalui tuisyen, kelas komputer, sesi kaunseling, kelas kebudayaan serta kelas muzik.

"Buat masa ini terdapat 373 remaja telah berdaftar dengan KLKP," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Billy Abbit Joo (BN-Hulu Rajang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Billy ingin tahu berhubung langkah-langkah yang sedang diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat(KPWKM) untuk menangani masalah ketagihan dadah, alkohol serta gejala sosial yang lain seperti perjudian haram dan jenayah siber terutama di kalangan muda-mudi di Malaysia.

Najib, yang memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata langkah lain ialah seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan perkhidmatan dalam bentuk institusi perlindungan dan pemulihan khusus bagi remaja yang terlibat dengan masalah sosial.
Beliau berkata, JKM pada masa ini mempunyai sembilan buah Sekolah Tunas Bakti, 11 buah asrama akhlak dan empat Taman Seri Puteri bagi remaja atau kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun yang terbabit dengan jenayah.

"JKM juga telah menubuhkan 142 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di kawasan berisiko seluruh negara bagi memberikan perkhidmatan kepada mereka yang berumur di bawah 18 tahun bagi mengelakkan mereka terlibat dengan masalah sosial.

"PAKK ini dipantau oleh 131 Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak yang mana keanggotaannya terdiri daripada kakitangan agensi-agensi kerajaan seperti JKM, polis, Jabatan Kesihatan serta pemimpin masyarakat setempat," kata Najib.

Najib berkata, sebuah lagi agensi di bawah kementerian iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut melaksanakan pelbagai program dan kursus untuk membendung masalah sosial dalam kalangan remaja.

Beliau berkata, antara program tersebut adalah program Kaunseling Keluarga, Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) serta Kafe@TEEN dan Ilmu Keluarga@LPPKN.

"Program ini adalah usaha pihak kementerian untuk mengukuhkan institusi keluarga serta mendidik ahli keluarga supaya lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan peranan mereka sebagai ibu bapa dan anak-anak," katanya.

Najib berkata, program itu secara tidak langsung dapat membantu menghindarkan remaja daripada terjebak dalam masalah sosial.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memperkenal program Pencegahan Jenayah Sekata (Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita) yang bertujuan melaksanakan kursus keibubapaan anak remaja dan pendidikan kesihatan reproduktif remaja kepada komuniti setempat.

"Penganjurannya adalah dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan program ini merupakan salah satu usaha untuk mencegah masalah sosial," jelas beliau. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan