Jumaat, 12 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Mahkamah tolak permohonan Uthayakumar untuk sapina Gordon Brown

Posted: 12 Oct 2012 02:39 AM PDT

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan P.Uthayakumar supaya mahkamah mengeluarkan sapina untuk menemu bual bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, berhubung perbicaraan kes hasutan yang dihadapi Uthayakumar.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah membuat keputusan itu atas alasan bahawa Brown tidak mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Katanya, mahkamah tidak nampak mengapa mahkamahnya perlu mengeluarkan sapina bagi membolehkan pemohon menemu bual dan menerima arahan bagi kes pembelaan.
Peguam kepada Uthayakumar, M.Manoharan memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Uthayakumar dikatakan melakukan perbuatan yang cenderung ke arah menghasut dengan menulis sepucuk surat kepada Gordon Brown, yang pada masa itu menjadi Perdana Menteri United Kingdom di alamat 10, Downing Street, London, United Kingdom.

Kesalahan tersebut dikatakan dilakukannya di No 135-3-A, Jalan Toman 7, Kemayan Square, Seremban, Negeri Sembilan pada 15 November 2007.

Uthayakumar menghadapi satu tuduhan pindaan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.
Jika didapati bersalah, Uthayakumar boleh didenda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan kesalahan yang berikutnya boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama lima tahun.

Uthayakumar telah memfailkan satu permohonan pada Julai (tahun ini) di Mahkamah Tinggi supaya mengeluarkan satu sapina kepada bekas Perdana Menteri United Kingdom, Gordon Brown untuk menemu bualnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Noorin Badaruddin memberitahu mahkamah bahawa kes di Mahkamah Sesyen masih lagi di peringkat pendakwaan dan pihak pendakwa telah memanggil tiga saksi dan akan menutup kes pada 23 Oktober 2012. - BERNAMA

Minuman dan makanan di Oldtown White Coffee halal

Posted: 12 Oct 2012 01:47 AM PDT

KUALA LUMPUR: Oldtown White Coffee memberi jaminan bahawa makanan dan minuman yang dihidangkan di semua restorannya halal.

Makanan dan minuman yang dihidangkan oleh Oldtown White Coffee didakwa oleh beberapa pihak sejak kebelakangan ini sebagai tidak halal dan pekerja beragama Islamnya mahu meletak jawatan.

"Oldtown White Coffee tidak menghidangkan produk tidak halal atau alkohol.
"Kesemua bekalan kami disediakan oleh pembekal yang mempunyai sijil yang diperakui JAKIM, yang perlu menunjuk sijil halal yang sah ke atas setiap barang yang dibekalkan," kata Datuk Dr Ahmed Tasir Lope Pihie, Pengerusi Oldtown Bhd, dalam kenyataan hari ini.

Oldtown Bhd ialah syarikat senarai awam di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, dan maklumat itu boleh diperoleh secara dalam talian.

"Kami mahu memberi penjelasan bahawa Oldtown White Coffee tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik, dan syarikat itu juga tidak berminat terhadap politik.

"Kami kini bekerja rapat dengan Cyber Security Malaysia dan Biro Aduan (MCMC) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi membuat penjelasan terhadap dakwaan dalam talian itu dan tidak agak-agak mendakwa mana-mana pihak yang terus memfitnah Oldtown White Coffee," kata Ahmed Tasir.
Ditubuhkan pada 1999, OldTown mengeluar campuran dan produk minuman segera, selain mengurus operasi lebih daripada 200 kafe di seluruh negara dan rantau ini.

Pada 2005, perniagaan diperluas kepada sektor perkhidmatan makanan menerusi pembukaan rangkaian restoran kafe yang berasaskan kedai kopi tradisional Ipoh menggunakan jenama "Oldtown White Coffee". - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan