Sabtu, 8 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Master’ tilik guna SMS

Posted: 07 Sep 2012 04:40 PM PDT

SHAH ALAM: Satu sindiket menawarkan khidmat menilik nombor ekor menerusi telefon bimbit dikesan mengedarkan risalah dari rumah ke rumah di bandar raya ini, Klang dan Banting sejak beberapa hari lalu.

Risalah hitam putih itu tertera nama sebuah kuil, gambar seorang sami lelaki dipercayai tukang tilik, sekeping nombor ekor dan resit keputusan pemenang menampilkan pengakuan seorang lelaki mengenai keberkesanan tilikan itu yang diberi secara percuma oleh seseorang yang digelar 'Master'.


Dalam risalah terbabit, lelaki itu mendakwa kehidupannya susah dan tidak cukup wang menampung perbelanjaan rumah, ansuran bulanan kereta dan rumah walaupun bekerja sebagai kerani bank.

Bagaimanapun, nasibnya berubah selepas menghubungi talian berkenaan dan menerima nombor daripada Master serta membelinya pada harga RM80 untuk nombor besar dan RM110 untuk nombor kecil.


Dalam risalah itu, dua nombor telefon disertakan untuk orang ramai menghubungi Master yang dikatakan boleh mengubah nasib, masalah kewangan dan menjadikan seseorang kaya dengan hanya menelefonnya.


Penduduk di Seksyen 17, di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Din mendakwa risalah itu diedarkan dari rumah ke rumah oleh seorang lelaki sejak beberapa hari lalu.

"Sebahagian besar penduduk di kawasan perumahan tempat saya tinggal beragama Islam. Jadi, tindakan mereka mengedarkan risalah terbabit tidak elok," katanya.


Wartawan Harian Metro menghubungi talian berkenaan dan berbual dengan seorang lelaki yang meminta menghantar butiran lengkap seperti nama penuh dan tarikh lahir ke nombor telefon tertera pada risalah terbabit.

Apabila cuba ditanya lanjut mengenai tulisan nama sebuah kuil, lelaki terbabit berkata ia sebuah kuil Buddha di Kedah.


"Anda perlu SMS nama penuh dan tarikh lahir. Kami akan periksa nama anda sama ada bernasib baik atau tidak dan sekiranya tidak ada nasib kami tidak memberi sebarang nombor," katanya yang enggan mengulas lanjut.


Bagaimanapun, usaha Harian Metro mendapatkan butiran lanjut berkaitan kepastian serta keberkesanan cara itu gagal apabila dimarahi lelaki terbabit sebelum menamatkan perbualan.


Justeru, Harian Metro menghantar SMS nama penuh serta tarikh lahir pada nombor berkenaan, namun tiada jawapan nombor tilikan diterima.


Syarikat telekomunikasi yang dihubungi berkata, pemilik nombor itu tidak dapat dikesan kerana menggunakan nombor prabayar selain usaha menghubungi talian itu juga gagal.


Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Maamor Osman ketika dihubungi menasihatkan orang Islam menghindarinya supaya tidak terpengaruh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08


Perlu telus rahsia identiti pengadu

Posted: 07 Sep 2012 04:37 PM PDT

KUALA LUMPUR: Rata-rata Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) menyokong tindakan tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menangani isu penyalahgunaan kediaman berkenaan berikutan dianggap sudah menindas hak golongan yang lebih memerlukan.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Baru Air Panas, Zalina Hassan berkata, DBKL boleh meneruskan cadangan untuk memberi ganjaran kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat kegiatan penyalahgunaan flat PPR mahupun PPA, tetapi perlu diteliti supaya tidak memudaratkan pihak berkaitan.


"Kami setuju apabila DBKL bercadang memberi ganjaran kepada pengadu, namun bagi pihak penduduk, saya harap ia dapat dilakukan secara telus dan berintegriti," katanya.

Menurut Zalina, pihaknya pernah berbincang mengenai isu ganjaran, namun ramai penduduk mempersoalkan ketelusan DBKL merahsiakan identiti pengadu.


"Kami tidak mahu mendidik masyarakat supaya terlalu fokus kepada soal ganjaran kerana lebih penting hak menduduki bagi golongan yang lebih memerlukan. Bagaimanapun, jika DBKL berhasrat untuk berbuat demikian, kami harap biar ada jaminan identiti pengadu dirahsiakan.


"Ini kerana ada kemungkinan anggota DBKL yang mempunyai pertalian saudara atau kenalan dengan penduduk di sesebuah PPR membocorkan identiti pengadu, sekali gus mendatangkan gangguan serta ancaman kepada keluarga pemberi maklumat," katanya. Pengerusi Persatuan Penduduk PPA Desa Rejang, Ismail Shaari turut menyokong usaha dan tindakan tegas DBKL dalam menangani isu itu yang disifatkan bukan lagi perkara baru, sebaliknya sudah mendatangkan keuntungan berganda kepada individu terbabit.

Ismail berkata, senario itu banyak berlaku di PPR mahupun PPA dan situasi bertambah buruk jika pemilik menyewakan kediaman kepada warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08


Tiada ulasan:

Catat Ulasan