Khamis, 6 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ambil alih tanpa notis

Posted: 05 Sep 2012 03:32 PM PDT

SUBANG JAYA: Bersandarkan kepada kepakaran dalam bidang masing-masing, sindiket antarabangsa didalangi ceti haram atau along bersama institusi kewangan dan mereka yang terbabit dalam bidang perundangan dikesan menjadikan bangunan dan premis di sekitar Pelabuhan Klang sebagai pusat operasi pelbagai kegiatan haram.

Menjadikan pembeli hartanah sebagai mangsa, kumpulan terbabit mengaut keuntungan mudah hasil manipulasi prosedur pemilikan aset dengan kerugian ditanggung pembeli yang berminat mencecah RM2 bilion sejak tiga tahun lalu.


Mendedahkan perkara itu dalam satu sidang media bersama semalam, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Jacob George berkata, hasil maklumat diterima pihaknya dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendapati, sindiket terbabit berselindung di sebalik institusi kewangan untuk mendapatkan premis dibeli pengguna dengan cara pengambilalihan tanpa notis.

Katanya, taktik berkenaan mula digunakan tiga tahun lalu selepas pihaknya menerima aduan pembeli yang tertipu dan kerugian selepas tidak mendapat harta dijanjikan biarpun sudah menandatangani perjanjian jual beli.


"Bukan itu saja, kami dapati, mereka mengambil alih sesuatu harta dibeli dengan tidak memberikan makluman serta pemberitahuan seperti sepatutnya, malah wang pendahuluan juga tidak dipulangkan.


"Dalam kes terbaru, kami menerima aduan daripada seorang pembeli bagi sebidang tanah bernilai RM11.5 juta yang mengandungi tiga gudang berserta jeti di Pelabuhan Klang, namun dikejutkan apabila mengetahui hartanah itu sudah dijual kepada pihak lain," katanya. Beliau berkata, pembeli berkenaan kerugian RM3.7 juta iaitu kos untuk menaik taraf bangunan selain mendapatkan sendiri Sijil Layak Menduduki sebelum 'kempunan' apabila mengetahui ia turut dijual kepada pihak lain.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut pihaknya mendapati wujudnya rundingan 'senyap' antara beberapa pihak sehingga membawa kepada penemuan pembabitan ceti haram dan 'orang dalam' institusi kewangan yang bersubahat menipu pembeli.


"Selanjutnya, kami mendapati mereka menggunakan premis dibeli untuk menjalankan kegiatan salah di sisi undang-undang dengan menyeludup tembakau, minuman keras dan barangan lain untuk mengelakkan cukai. Kebanyakan pusat operasi mereka tertumpu di kawasan pelabuhan," katanya pada sidang media yang dihadiri Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya kesal dengan situasi itu dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi mendakwa mereka yang terbabit selain mengkaji semula prosedur sedia ada bagi lelongan dan tuntutan balik aset. "PPIM bersama Cassa akan menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz selain membuat laporan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung perkara ini minggu depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06


DBKL kaji kurangkan lesen pusat hiburan

Posted: 05 Sep 2012 03:28 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengkaji semula pemberian lesen pusat hiburan serta kelab malam di ibu kota dan kemungkinan bilangan sedia ada dikurangkan.

Ini berikutan kewujudan banyak masalah sosial dan jenayah di premis terbabit.


Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, menerusi Jabatan Pelesenan pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama bagi mengkaji semula dasar pemberian lesen kepada pemilik perniagaan.

Katanya, dasar yang ditetapkan memutuskan sebelum sesebuah kelab malam beroperasi, premis itu perlu dipastikan lokasi dan jaraknya bersesuaian, mementingkan keselamatan dan tidak mengundang berlaku kes jenayah.


"Ini bermakna pemilik perniagaan mesti patuh arahan dan garis panduan, selamat dan beroperasi dengan kebenaran," katanya mengakui wujud premis haram di ibu kota dan memberi amaran keras kepada mereka yang ingkar.


Katanya, pihaknya terlebih dulu akan berbincang dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) sama ada mengurangkan pemberian lesen atau sebaliknya.

"Sehingga kini belum ada kata putus dan ia akan dibincangkan dalam masa terdekat," katanya memberitahu operasi kelab malam dan pusat hiburan tertakluk kepada kelayakan dan polisi DBKL.


Sementara itu Timbalan Menteri WPKB, Datuk M Saravanan dalam laporan akhbar semalam berkata, kementerian akan mengkaji semula lesen pusat hiburan dan kelab malam di ibu kota memandangkan terlalu banyak kewujudan premis itu ketika ini.

Beliau berkata, keputusan itu diambil supaya tidak mendatangkan banyak masalah sosial dan jenayah seperti kes tembakan dua penjaga kelab di Jalan Doraisamy, baru-baru ini.


Katanya, sehingga kini kira-kira 300 kelab malam dan pusat hiburan beroperasi terutama di Jalan Changkat Jering dan Jalan Doraisamy termasuk 10 peratus daripadanya beroperasi tanpa kebenaran dan melebihi waktu dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/06


Tiada ulasan:

Catat Ulasan