Rabu, 5 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


350 rumah tenggelam

Posted: 04 Sep 2012 03:29 PM PDT

KUALA LUMPUR: Lebih 350 buah rumah dan 100 kenderaan ditenggelami air sedalam satu meter dalam kejadian banjir kilat di Taman Sri Serdang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata hujan lebat selama dua jam bermula 4.30 petang itu menyebabkan air dari longkang besar di kawasan berkenaan melimpah dan menenggelamkan rumah serta kenderaan penduduk sekitar.

"Turut terperangkap kira-kira 300 pelajar dan 23 guru dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sri Serdang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Indah, namun berjaya diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat kira-kira jam 9.30 malam tadi," katanya ketika meninjau keadaan banjir di sini semalam.

Abdul Razak berkata pihaknya menyediakan pusat pemindahan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) namun tiada penduduk yang dipindahkan.


"Air mula surut sejak pukul 7 malam, dan saya dimaklumkan oleh penduduk kali terakhir berlaku banjir kilat di kawasan ini adalah 27 tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


RM60,000 harga putus cinta

Posted: 04 Sep 2012 03:23 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Serahkan RM60,000 atau banyak lagi gambar bogel awak akan disebarkan!," begitu ugutan diterima seorang wanita selepas dia memutuskan hubungan dengan teman lelakinya sejak seminggu lalu sehingga hidup ketakutan.

Ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Chow, 29, menerima ugutan berkenaan menerusi kiriman mesej di laman sosial, facebook miliknya daripada seorang lelaki berserta gambar bogel yang dirakam secara curi ketika dia keluar dari bilik air di rumahnya di Sentul, di sini, tidak lama dulu.


"Saya mengesyaki ia perbuatan bekas teman lelaki yang tidak puas hati kerana saya memutuskan hubungan selepas tidak tahan melayan kehendak nafsunya sejak menjalin hubungan dua bulan lalu," katanya ketika sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam. Dia yang menemui jalan buntu mendapatkan khidmat nasihat pengerusi biro, Datuk Seri Micheal Chong sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Dalam kes berasingan, seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Jenny, 30, menerima nasib sama apabila gambar bogelnya disebarkan menerusi facebook sejak April lalu.


Menurut Jenny, dia memutuskan hubungan dengan bekas teman lelakinya berikutan perbuatan ganas suspek yang selalu memukulnya sejak menjalin hubungan intim tahun lalu.


Sebaik saja memutuskan hubungan, Jenny menerima SMS daripada suspek mengatakan dia akan menjadi 'terkenal' kerana meninggalkannya, bagaimanapun dia tidak mengendahkan ugutan itu sehingga dihubungi rakannya pada April lalu mengatakan terdapat akaun facebook menggunakan nama berserta beberapa gambar bogel miliknya.

Sementara itu, Chong berkata, kedua-dua mangsa tidak menyedari gambar bogel mereka dirakam bekas teman lelaki masing-masing.


"Satu pertemuan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah diadakan pagi tadi (semalam) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan polis akan menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Tiada ulasan:

Catat Ulasan