Selasa, 4 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dalang dadah miliki hotel

Posted: 03 Sep 2012 01:30 PM PDT

KUALA LUMPUR: Hasil menjadi perancang utama sindiket penyeludupan dadah menggunakan keldai dadah terdiri daripada wanita tempatan dan warga asing, seorang lelaki rakyat Nigeria dikesan mampu memiliki hotel sendiri di negara asalnya selain menginap di banglo dan menggunakan beberapa kereta mewah di Malaysia.

Lelaki berusia 31 tahun yang diburu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sejak lebih enam bulan lalu itu diberkas di Lukut, Negeri Sembilan, Sabtu lalu selepas polis mendapat maklumat hasil beberapa serbuan dan tangkapan dilakukan sejak 27 Ogos lalu membabitkan nilai rampasan dadah berjumlah RM7 juta.


Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam beberapa serbuan dilakukan di ibu negara, Selangor dan Negeri Sembilan minggu lalu, seramai sembilan suspek ditahan termasuk ketua sindiket dadah antarabangsa terbabit.

"Jumlah tangkapan seramai sembilan suspek berusia 25 hingga 38 tahun termasuk ketua sindiket terbabit iaitu lima lelaki dan seorang wanita warga Nigeria, seorang lelaki warga Iran serta masing-masing seorang wanita warga Zambia dan seorang lagi wanita tempatan.


"Dadah dirampas pula sebanyak 32.4 kilogram syabu dan 16.9 kilogram heroin dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, ketua sindiket dadah itu diberkas bersama seorang wanita tempatan yang mendakwa isteri suspek dan polis menyita dua kenderaan BMW dan Toyota Camry, namun tiada rampasan dadah di banglo mewah didiami pasangan terbabit.

"Sindiket dadah antarabangsa itu sudah beroperasi lebih daripada enam bulan dengan melakukan kegiatan menyeludup dan menjadikan Malaysia sebagai transit terutama dadah jenis syabu sebelum diedar untuk pasaran tempatan dan beberapa negara lain di Eropah, Asia dan Amerika Selatan.


"Antara modus operandi sindiket didalangi warga Nigeria itu adalah menggunakan beg pakaian yang diubah suai untuk menyembunyikan dadah sebelum diseludup masuk keldai dadah melalui lapangan terbang dan kami akan berhubung dengan Interpol untuk menyiasat rangkaian sindiket itu serta memburu ahlinya yang masih bebas" katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan kelmarin, Noor Rashid berkata, pihaknya menahan sepasang suami isteri dan anak perempuannya berusia 18 tahun serta warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan merampas syabu seberat 2.4 kilogram.


"Pada hari sama, kami menahan dua beradik perempuan berusia 54 dan 57 tahun dari Iran di KLIA selepas hasil pemeriksaan menemui 4.2 kilogram syabu dalam bagasi mereka.


"Ini menjadikan keseluruhan dadah dirampas sepanjang minggu lalu dianggarkan bernilai RM8.3 juta membabitkan 39 kilogram syabu dan 16.9 kilogram heroin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Rempuh kereta perompak

Posted: 03 Sep 2012 11:45 AM PDT

SHAH ALAM: Akibat marah dan bengang apabila cuba dirompak, dua lelaki nekad mengejar perompak terbabit sebelum merempuh kereta penjenayah terbabit dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Subang Jaya, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa bersama majikannya pergi stesen minyak berkenaan untuk mengisi petrol terkejut dengan kehadiran dua lelaki tempatan menaiki Perodua Myvi yang kemudian mengacukan objek dipercayai pistol terhadap mereka.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, ketika kejadian, mangsa yang bersendirian didatangi suspek ketika majikannya membuat bayaran di kaunter.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 25 dan 43 tahun itu mengarahkan mangsa menyerahkan dompet dan wang, namun membatalkan hasratnya apabila majikan mangsa melihat ke jadian itu.


"Suspek melarikan diri dengan seorang lagi rakan yang sedia menunggu dalam kereta, namun dikejar mangsa dan majikannya.


"Mangsa mengejar suspek hingga ke sebuah kawasan perumahan di Seksyen 14, Subang Jaya," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, mangsa merempuh bahagian belakang kereta suspek sehingga hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan sebelum kedua-dua mereka keluar dari kereta dan melarikan diri.


Menurutnya, mangsa menghubungi polis dan sepasukan anggota dari balai berhampiran dikejarkan ke tempat kejadian dan menahan suspek yang bersembunyi di kawasan perumahan itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui satu objek dipercayai sepucuk pistol mainan, lampu suluh, telefon bimbit dan sebuah beg dalam kereta suspek.


"Hasil ujian air kencing dan siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek berasal dari Petaling Jaya didapati positif dadah jenis syabu, namun tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04


Tiada ulasan:

Catat Ulasan