Ahad, 2 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Korban selamat rakan

Posted: 01 Sep 2012 03:34 PM PDT

GERIK: "Kami sempat melihat seladang itu menanduk rusuk kiri Musa, menyebabkan dia melambung lima meter ke udara sebelum tersangkut pada pohon buluh," kata Isa Abdul Manas, 24, rakan kepada Musa Ismail, 55, yang maut diserang seekor seladang di Hulu Air Pasir, Banding, berdekatan Hutan Simpan Royal Belum, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang, Musa bersama Isa serta abangnya, Mohd Saripudin Abdul Manas, 34, berkunjung ke kawasan itu untuk memancing sebelum berdepan saat mencemaskan diserang haiwan liar berkenaan.


Musa yang juga penebang balak berasal dari Felda Bersia, di sini, menderita kesakitan hampir dua jam akibat cedera parah di rusuk kiri akibat rodokan binatang itu sebelum menghembuskan nafas terakhir jam 8.45 malam.

Isa yang ditemui di rumahnya di Kampung Kenayat, di sini, semalam berkata, mereka memasuki hutan untuk memancing ikan dengan berjalan kaki hampir tiga jam menerusi 'lorong tikus' di Kilometer 68.4 di Jalan Raya Timur Barat berdekatan Banding, di sini.


Beliau berkata, pada mulanya, seladang itu menyerang dia dan abangnya, manakala arwah berada lima meter dari situ.


"Panik melihat kami berdua diserang seladang, arwah menuju ke arah haiwan itu untuk mengacah selain menjerkah supaya ia beredar.

"Bagaimanapun, haiwan itu bertindak agresif sebelum meluru ke arah arwah dan menanduknya, menyebabkan arwah melambung dan tersangkut pada pohon buluh," katanya.


Katanya, abangnya turut cedera dipijak seladang itu dan terpaksa meriba Musa sebelum menghubungi isteri arwah untuk memaklumkan kejadian.

Isa berkata, arwah menghembuskan nafas terakhir dua jam kemudian akibat pendarahan teruk di rusuk kiri sebelum pasukan penyelamat tiba awal pagi semalam bagi mengeluarkan mereka bertiga.


Menurutnya, dia bernasib baik kerana hanya cedera ringan di betis, paha dan tengkuk ketika bergelut dengan seladang berkenaan, manakala abangnya cedera ringan di kaki.


"Ketika pergelutan, saya hampir dipijak binatang itu selain nyaris ditanduk di perut. Malah, beg galas yang dipakai juga terkoyak akibat dirodok binatang itu.


"Saya tidak menduga kejadian itu boleh berlaku dan serik ke sana lagi," katanya.


Sementara itu, isteri arwah, Siti Ghatna Che Ahmad, 61, berkata, suaminya tidak banyak bercakap sebelum bertolak ke Hutan Belum, petang kelmarin.


"Arwah memang suka mencari ikan sungai dan akan ke hutan berkenaan, terutama pada hari cuti. Bagaimanapun, saya dan tiga anak menganggap kejadian ini sebagai takdir," katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Forensik, Hospital Gerik (HG), di sini, semalam.


Jenazah Musa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bersia selepas solat Zuhur semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 02/09/2012


Penyelamat redah hutan 10 jam

Posted: 01 Sep 2012 03:31 PM PDT

GERIK: Seramai 38 anggota penyelamat membabitkan polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta anggota bomba dan penyelamat mengharungi perjalanan sukar hampir 10 jam bagi meredah kawasan Puncak Titiwangsa untuk mengeluarkan tiga mangsa serangan seladang di Hulu Air Pasir, Banding, dekat Hutan Simpan Royal Belum, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan jam 8.45 malam, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang maut dan cedera.


Beliau berkata, pihaknya terpaksa meredah keadaan bentuk muka bumi berbukit-bukau dan hutan tebal sebelum tiba di lokasi kejadian, jam 1 pagi semalam.

"Semua mangsa diusung keluar dari hutan sebelum tiba di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB), jam 7.30 pagi tadi (semalam) sebelum dibawa ke Hospital Gerik.


"Mangsa, Musa Ismail, 55, maut akibat serangan seladang, manakala Mohd Saripuddin Abdul Manas, 34, dan adiknya, Isa, 24, hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Katanya, orang ramai dinasihat tidak menceroboh hutan simpan berkenaan sewenang-wenangnya meskipun untuk memancing ikan atau mencari herba hutan kerana ia kawasan larangan serta berisiko tinggi.

"Mereka yang mahu masuk ke hutan itu perlu mendapatkan permit daripada Taman Negeri Royal Belum," katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Abdul Kadir Abu Hashim ketika dihubungi berkata, dalam keadaan normal, seladang akan melarikan diri sebaik terserempak dengan manusia di hutan.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman pihaknya, haiwan liar itu akan bertindak ganas dan agresif dalam dua keadaan iaitu ketika melindungi anaknya atau ia berasa terancam serta tercedera.


"Kami akan menyiasat lebih lanjut kejadian itu, termasuk menyoal siasat dua mangsa yang terselamat dalam serangan itu. "Kami juga ingin mendapatkan kepastian daripada mangsa kenapa serangan berlaku dan apa dilakukan mangsa di dalam hutan.


"Seladang antara spesies haiwan dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.


Jurucakap Bomba dan Penyelamat Gerik ketika dihubungi berkata, insiden serangan seladang itu adalah kejadian kedua direkodkan di daerah ini sejak 10 tahun lalu.


"Dalam kejadian sama beberapa tahun lalu, seorang lelaki maut selepas diserang haiwan liar itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 02/09/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan