Sabtu, 15 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pelajar melecur barbeku meletup

Posted: 14 Sep 2012 11:50 AM PDT

KUALA LUMPUR: Lima pelajar sebuah sekolah menengah di Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, pagi semalam melecur teruk selepas berlaku letupan ketika mereka berbarbeku sempena majlis rumah terbuka Adilfitri di sekolah berkenaan jam 9.30 pagi semalam.

Mangsa membabitkan pelajar tingkatan empat dan seorang tingkatan lima dengan empat daripada mangsa parah akibat melecur 25 hingga 45 peratus dari paras pinggang hingga muka.


Menurut seorang daripada mangsa, Mohd Hidayad Mohd Yazid, 16, ketika kejadian dia bersama 20 rakan memerhati seorang guru mencurahkan cecair pelarut ke dalam api, apabila secara tiba-tiba berlaku letupan kuat serta api menyambar mereka yang berada di sekeliling alat barbeku.

"Baju saya terbakar pada bahagian seluar dan lengan, saya kemudian menanggalkan seluar dengan bantuan rakan.


"Selepas kejadian, guru yang mencurah cecair itu menghantar saya dan seorang rakan yang parah, Muhammad Azreen Rahim, 16, ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian itu daripada keluarga pelajar yang cedera.

Menurutnya, setakat ini kes berkenaan tiada unsur jenayah dan lebih menjurus kepada kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/15


Tunggakan cukai MBSA RM13 juta

Posted: 14 Sep 2012 11:48 AM PDT

SHAH ALAM: Tunggakan cukai taksiran keseluruhan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sehingga Disember tahun lalu mencecah RM13 juta membabitkan cukai taksiran industri, perdagangan, kediaman dan pertanian.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, cukai taksiran membabitkan kediaman faktor utama kepada pertambahan angka keseluruhan tunggakan cukai taksiran berkenaan.


Beliau berkata, kawasan perumahan jenis pangsapuri dan kondominium di Seksyen 7, Seksyen 13 dan Seksyen U5, di sini, antara kawasan yang mengundang kepada permasalahan berkenaan.

"Berdasarkan pemantauan MBSA, kami mendapati pegangan harta yang mempunyai jumlah tertunggak terbanyak adalah kediaman membabitkan hampir 8,000 akaun pemegang harta dengan jumlah tertunggak minimum RM300.


"Pihak MBSA amat berharap semua pemegang harta dapat menunaikan tanggungjawab untuk menjelaskan tunggakan serta cukai taksiran dikenakan," katanya.


Shahrin berkata, MBSA kini giat melaksanakan tindakan undang-undang kepada pemilik harta yang gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran di seluruh kawasan pentadbirannya.

"Sebelum ini, langkah sama diambil terhadap premis perindustrian dan perdagangan yang menjurus kepada penurunan jumlah tunggakan," katanya.


Menurutnya, MBSA menasihatkan pemilik harta yang menjual atau berpindah ke kediaman lain supaya dapat mengemas kini alamat surat menyurat dengan MBSA bagi mengelakkan bil serta notis dihantar ke alamat yang salah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/15


Tiada ulasan:

Catat Ulasan