Rabu, 12 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Penyamun sewa teksi

Posted: 11 Sep 2012 11:13 AM PDT

KLANG: Kegiatan sekumpulan lelaki menggunakan teksi untuk menyamun tumpas dengan tertangkapnya empat lelaki di sebuah pangsapuri di Bandar Puteri Puchong, di sini, Ahad lalu.

Kejayaan itu hasil laporan polis dibuat seorang suri rumah berusia 40-an yang kerugian RM10,000 selepas disamun kumpulan terbabit yang datang ke rumahnya di Taman Sungai Jati, di sini, Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, ketika kejadian jam 10 pagi itu, mangsa yang berada di rumahnya bersama tiga lagi anggota keluarga didatangi suspek dengan menaiki teksi.

Beliau berkata, tanpa berasa curiga, mangsa keluar dari rumahnya selepas melihat seorang lelaki membunyikan loceng dan memanggil tuan rumah.


"Sebaik keluar dan menghampiri suspek, mangsa diacukan parang sebelum tiga lagi rakan suspek yang berada dalam teksi keluar untuk menyamun.


"Bimbang dicederakan, mangsa membiarkan suspek melarikan beberapa barangan kemas miliknya dan sebuah komputer riba," katanya dalam sidang media di IPD Klang Selatan, di sini, semalam.

Katanya, siasatan lanjut menahan semua suspek berusia 18 hingga 27 tahun dan merampas pelbagai barangan yang dipercayai disamun termasuk sebahagian barang milik suri rumah terbabit.


Antara barang yang dirampas termasuk lima telefon bimbit, rantai emas, loket emas, rantai tangan, rantai leher, komputer riba, kunci dan sebilah pisau.

Menurutnya, polis turut menemui teksi yang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan samun dan siasatan awal mendapati suspek menyewa teksi berkenaan daripada individu lain.


"Modus operandi suspek adalah datang ke rumah mangsa yang mahu disamun sebelum keluar dan membunyikan loceng rumah dan memanggil tuan rumah.


"Mangsa yang tidak mengesyaki niat suspek keluar dari rumah dan menghampiri suspek sebelum diacukan parang.


"Sebaik mengacukan parang, rakan suspek yang berada dalam teksi menyerbu ke dalam rumah mangsa selain merampas barangan berharga sebelum melarikan diri," katanya.


Mohamad berkata, polis akan menjalankan siasatan sama ada suspek mempunyai kaitan dengan tiga kes samun menggunakan teksi yang dilaporkan di daerah ini beberapa bulan lalu.


Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut sehingga 16 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/12


Polis naik setiap blok

Posted: 11 Sep 2012 11:10 AM PDT

AMPANG: Menyedari kepentingan keselamatan penduduk di Ampang Jaya, anggota polis dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menjalankan 'Vertical Policing' iaitu rondaan di bangunan tinggi seperti diperkenalkan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, lapan balai polis dalam pentadbirannya sudah menjalankan rondaan itu sejak awal bulan lalu secara berperingkat.


Menurutnya, program itu bertujuan mengekang jenayah di kawasan perumahan seperti kondominium, pangsapuri dan flat.

Berikutan itu, Balai Polis Ampang kelmarin melaksanakan program berkenaan di Pangsapuri Astaria di Taman Kosas, di sini, yang disambut baik penduduk pangsapuri itu.


Rondaan diketuai Ketua Polis Balai Ampang, Cif Inspektor Norazman Zakaria bermula jam 5 petang sebagai pengenalan awal supaya orang ramai faham mengenai program itu, sekali gus dapat membantu membanteras jenayah serta menurunkan indeks jenayah.


Amiruddin berkata, setiap balai sudah melaksanakan program terbabit secara berperingkat membabitkan lebih 200 bangunan.

"Sebelum ini, polis hanya melakukan rondaan di kawasan sekitar dan bawah bangunan. Melalui program itu, polis akan menjalankan rondaan dengan naik ke atas setiap blok. "Rondaan terbabit dilakukan setiap hari mengikut jadual ditetapkan dan berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/12


Tiada ulasan:

Catat Ulasan