Selasa, 11 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kereta jadi tilam

Posted: 10 Sep 2012 10:16 AM PDT

KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan ratusan ringgit, sebuah syarikat 'gores dan menang' mengaut keuntungan mencecah RM200,000 sehari hasil penipuan.

Mereka menjanjikan hadiah kereta mewah seperti dipamerkan pada kad yang diserahkan kepada mangsa untuk mencuba nasib, bagaimanapun sebaik mangsa menyerahkan wang tunai, mereka menukarkan hadiah kepada tilam jed yang hanya bernilai RM200.


Itu antara taktik syarikat terbabit yang turut merekrut beberapa kakitangannya bagi mengaburi mata pelanggan mereka.

Namun, kegiatan mereka tumpas sebaik pejabat latihan dan stor simpanan di tingkat satu Jalan Kuchai Maju 13, Kuchai Lama, di sini, diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jam 12 tengah hari, semalam.


Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan, Abu Samah Shabudin berkata, serbuan terbabit dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya sejak beberapa bulan lalu.


"Serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan, Amran Daud bersama empat anggota lain dan mendapatkan waran geledah berikutan premis terbabit tidak berpenghuni.

"Hasil serbuan, kami menemui sebuah stor simpanan yang ditempatkan tersorok di belakang almari. Anggota kami mengalihkan almari itu sebelum menemui pelbagai barangan seperti kad gores dan menang, tilam jed, mesin jahit, mesin urut kaki dan dapur elektrik," katanya.


Menurut Abu Samah, premis itu dijadikan pejabat urusan dan pusat latihan kakitangan syarikat terbabit berdasarkan dokumentasi yang ditemui selain dijadikan stor simpanan.

"Sebelum ini KPDNKK sudah menyerbu tiga premis di Bandar Tasik Permaisuri, Sungai Besi dan Kuchai Maju 8 yang dipercayai didalangi kumpulan sama berdasarkan modus operandi dan dokumen yang ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11


Tunggu sehingga November

Posted: 10 Sep 2012 10:13 AM PDT

KUALA LUMPUR: Spekulasi berhubung projek pembangunan MY Rapid Transit (MRT) di kawasan Bukit Bintang sehingga terpaksa 'mengorbankan' Plaza Bukit Bintang (BB Plaza) yang dimiliki Uda Holdings Bhd (Uda Holdings) sejak lebih tiga dekad lalu akan diketahui November ini.

Ia berikutan syarikat yang ingin mengadakan usaha sama dengan Uda Holdings bagi pembangunan semula BB Plaza, Tradewinds Corporation Bhd (TCB) kini masih dalam kajian untuk meneruskan kerjasama itu.


Pengarah Urusan Kumpulan Uda Holdings, Ahmad Abu Bakar berkata, ketika ini TCB masih melakukan kajian dan keputusannya diketahui dalam tempoh tiga bulan.

"Mereka belum memberi maklum balas dan mempunyai masa sehingga November depan sama ada untuk meneruskan kerjasama ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri dan Penyampaian Anugerah Khidmat Setia Ancasa Hotel & Spa di sini, semalam.


Pada majlis itu, 112 kakitangan Uda yang berkhidmat sejak 10 hingga 30 tahun lalu menerima sijil penghargaan dan wang tunai atas kesetiaan perkhidmatan mereka.


Uda sebelum ini bercadang untuk melepaskan asetnya, BB Plaza yang menyumbang kira-kira 25 peratus kepada pendapatan cabang Uda Mall bagi memberi laluan pembangunan projek MRT.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11


Tiada ulasan:

Catat Ulasan