Isnin, 10 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Padah lakonan kaku

Posted: 09 Sep 2012 03:04 PM PDT

KLANG: Tindakan seorang majikan mengarahkan seorang pekerja warga asingnya menyamar pelanggan warga tempatan di gerai menjual ikan miliknya di Pasar Besar Klang, Jalan Meru, di sini, semalam bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen gagal apabila lakonan lelaki Bangladesh itu tidak menjadi.

Padah memaparkan 'lakonan' kaku serta gerak-geri mencurigakan, warga Bangladesh berusia 39 tahun itu ditahan Jabatan Imigresen dalam Ops 6P selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah.


Turut ditahan majikannya yang juga penjual ikan atas kesalahan melindungi pekerja warga asing.

Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Selangor, Othman Montil berkata, lelaki Bangladesh itu antara 68 warga asing berusia 22 hingga 45 tahun yang ditahan dalam operasi itu atas pelbagai kesalahan.


"Mereka ditahan atas kesalahan tidak memiliki pasport, melanggar syarat Imigresen dan menetap di Malaysia melebihi tempoh ditetapkan," katanya.


Katanya, mereka yang ditahan dalam operasi bermula jam 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari itu terdiri daripada 24 warga Myanmar, Indonesia (21), Bangladesh dan Nepal masing-masing lapan serta empat warga India. Turut ditahan dua lelaki warga China dan seorang lelaki warga Thailand kerana mengemis di situ.

"Daripada jumlah itu, 10 wanita warga asing turut ditahan," katanya. Othman berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk siasatan lanjut.


"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah bekerja dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, lelaki berusia 40-an yang juga majikan seorang daripada pekerja warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 55B akta sama kerana mengambil orang asing bekerja dengan memiliki pas pekerja sah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Pengusaha pasar malam dinasihat akur notis tutup

Posted: 09 Sep 2012 02:59 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pengusaha pasar malam Kerinchi yang masih menjalankan perniagaan pada setiap Isnin dan Jumaat dinasihatkan supaya akur pada notis arahan tutup dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berkata, pihaknya dimaklumkan DBKL sudah memberi peluang penangguhan sehingga akhir Ramadan lalu, namun masih ada peniaga yang ingkar terhadap arahan tutup tujuh bulan lalu.


"Saya difahamkan penutupan pasar malam Kerinchi dibuat berdasarkan permintaan penduduk setempat. Mereka tidak mahu pasar malam ditambah daripada dua kepada empat hari berikutan berdepan masalah kesesakan serta tiada tempat letak kenderaan.

"Malah, notis dan peluang penangguhan juga sudah diberi kepada peniaga. Jadi, ada baiknya mereka akur demi keselesaan penduduk di sini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Penduduk Flat Empat Tingkat, Kampung Kerinchi, anjuran Suez Domain Sdn Bhd (Suez Domain), di sini, semalam.


Hadir sama, Pengarah Suez Domain, Abdul Hadi Ahmad dan Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Empat Tingkat Kampung Kerinchi, Ahmad Rahmat.


Selain jamuan makan, Suez Domain menyerahkan sumbangan raya kepada anak penduduk flat berkenaan.

Menurut Raja Nong Chik, beliau percaya isu itu hanya sebahagian agenda pihak pembangkang untuk memporak-perandakan rancangan pembangunan kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Tiada ulasan:

Catat Ulasan