Ahad, 9 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Asrama tempatkan 25 pelajar tahfiz di Kuala Ibai terbakar

Posted: 09 Sep 2012 03:17 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Tingkat dua sebuah bangunan yang menempatkan asrama dihuni 25 pelajar Maahad Tahfiz Assyifa di Kampung Kolam, Kuala Ibai di sini, terbakar dalam satu kejadian pada kira-kira 1.20 petang tadi.

Pengetua maahad tahfiz itu Ahmad Syarifuddin Ibrahim berkata ekoran insiden tersebut, semua peralatan pelajar seperti tilam dan katil gagal diselamatkan.

"Ketika kebakaran, saya sedang solat zohor bersama pelajar di surau berhampiran, tetapi saya dikejutkan dengan teriakan ibu saya Limah Awang, yang ketika itu berada di tingkat bawah menjerit ada api di tingkat dua bangunan.

"Mendengar teriakan itu, saya terus keluar dan melihat api sedang marak membakar bangunan tingkat dua. Saya bersama orang kampung serta pelajar cuba memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air terdekat bagi menggelakkan kebakaran merebak ke tingkat bawah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Beliau berkata maahad tahfiz, yang menempatkan 50 pelajar tingkatan satu hingga lima, baru diduduki tahun lepas setelah dibina semula hasil sumbangan orang ramai kerana terlibat dalam kebakaran pada awal tahun 2011.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Md Ridzuan Hasan berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.25 petang dan tiga jentera bersama 28 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kita mengambil masa kira-kira 11 minit bagi mengawal keseluruhan kebakaran dan mengelakkannya daripada merebak ke tingkat bawah," katanya.

Beliau berkata tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, dan punca sebenar kejadian serta nilai kerugian masih disiasat.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Wan Kamal Wan Ismail berkata pihaknya akan memberi bantuan keperluan asas seperti tilam, selimut serta peralatan lain kepada pelajar terbabit dalam masa terdekat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/09


250 mat rempit diarah tolak motosikal sendiri sejauh 5 km ke balai

Posted: 09 Sep 2012 02:35 AM PDT

GEORGETOWN: Polis menahan 250 mat rempit termasuk 22 pelajar tingkatan empat dan lima dalam Ops Samseng Jalanan di Bukit Gambir, awal pagi tadi.

Kesemua yang terlibat termasuk penonton diarah menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer ke Pangkalan Polis Marin Wilayah Utara, Batu Uban untuk pemeriksaan lanjut dan kesemuanya dibebaskan selepas polis mengambil keterangan daripada mereka.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supt Wan Aziz Wan Husin berkata operasi enam jam yang berakhir 6 pagi itu turut melibatkan anggota dan pegawai polis dari ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Dalam operasi berkenaan kita berjaya menggagalkan perlumbaan haram yang dirancang kumpulan mat rempit terbabit.


"Terdapat juga beberapa orang yang nekad melarikan diri dengan melawan arus jalan raya tetapi cubaan mereka gagal kerana kawasan itu dikepung," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Wan Aziz berkata 90 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya seperti mengubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi, tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

"Polis juga menyita 14 motosikal dan hasil ujian air kencing mendapati lapan daripada mereka positif dadah," katanya.

Wan Aziz menasihati orang ramai agar tidak menjadi penonton perlumbaan haram kerana perbuatan itu membahayakan keselamatan mereka.

Katanya operasi bersepadu seumpama itu akan dijalankan dari semasa ke semasa tidak hanya tertumpu di lokasi panas malah melibatkan semua kawasan yang dikenal pasti menjadi lubuk mat rempit. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/09


Tiada ulasan:

Catat Ulasan