Rabu, 5 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Mangsa dera suami tampil beri penjelasan berhubung rakaman CCTV

Posted: 05 Sep 2012 06:20 AM PDT

IPOH: Amanda Fong Kim Yen, 19, yang mendakwa menjadi mangsa dera suami hari ini tampil untuk memberi penjelasan berhubung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan penderaan terhadapnya.

Amanda yang hadir di Pejabat MCA Ipoh Timur bersama ibunya Lily Yeoh, 49, dan peguam yang mewakilinya Datuk G. Amajit Singh Gill pada kira-kira pukul 2 petang menceritakan kejadian itu yang turut dimuat naik ke dalam laman facebook miliknya.

Beliau yang masih dalam keadaan trauma berkata kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham dengan suaminya pada 23 Ogos lalu.

"Semuanya bermula apabila rakan suami saya mahu menjual minyak wangi berjenama kepada kedai kami, saya tidak suka cadangan itu, saya tidak percayakannya kerana rakan suami saya pernah berhutang RM2,000 sejak dua tahun lepas dan gagal membayarnya.


"Saya takut minyak wangi itu tiruan. Saya berhenti bertengkar kerana perut saya rasa sakit dan saya mahu balik dan berehat dan dia mula bertindak ganas terhadap saya," katanya kepada pemberita.


Amanda berkata suaminya mengetahui beliau hamil dua bulan, namun tetap memukulnya termasuk menekan perutnya menggunakan lutut, bagaimanapun tidak menggunakan sebarang senjata atau kayu.

Wanita itu berkata bapanya membuat laporan polis selepas kejadian berlaku manakala beliau membuat laporan polis pada 3 September lalu selepas memuat turun rakaman kejadian itu di dalam facebook miliknya pada 30 Ogos untuk diberikan kepada polis untuk membantu siasatan.

Menurutnya beliau yang mendirikan rumah tangga pada 17 Januari lepas mengetahui suaminya itu mempunyai sikap panas baran dan agresif dan pernah dikasari sebelum mereka berkahwin dan beliau sentiasa memaafkannya dan berharap suaminya akan berubah.

Amajit Singh berkata Amanda merupakan seorang gadis yang berani untuk menceritakan pengalamannya.

"Beliau memuat turun video di dalam internet adalah kerana bimbang dengan kejadian itu dan meminta polis menyiasat kes ini dan seterusnya mengambil tindakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Dzuraidi Ibrahim melalui khidmat pesanan ringkas berkata kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini untuk tindakan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Polis tumpas sindiket 'Black Money' mengakibatkan mangsa kerugian RM500,000

Posted: 05 Sep 2012 04:36 AM PDT

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket 'Black Money' yang aktif melakukan penipuan di sekitar Cheras sejak enam bulan lalu dengan menangkap empat lelaki Nigeria di sebuah kondominium mewah di Brickfields, Isnin lepas.

Kondominium tempat tangkapan dibuat dipercayai menjadi pusat kegiatan sindiket berkenaan melakukan 10 kes penipuan di Cheras membabitkan kerugian RM500,000 ke atas mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, ACP Izany Abdul Ghany berkata penahanan keempat-empat mereka yang berumur antara 25 hingga 37 tahun itu menerusi serbuan ketiga unit berasingan sekitar kondominium sama pada kira-kira 12 tengah hari.

Dalam serbuan itu polis merampas beberapa peralatan elektronik seperti lima komputer riba, 14 telefon bimbit, sebuah kamera digital dan satu alat jalur lebar bersama 32 bungkusan besar berisi 'black money' menyerupai mata wang Amerika dan kertas kosong berbalut plastik, dipercayai bahan bagi menipu mangsa.


"Polis merampas dua botol cecair kimia, disyaki digunakan untuk mencuci bahan 'black money' dan 80 kotak minyak pelincir kenderaan untuk dijual," kata Izany pada sidang media yang dihadiri Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, hari ini.


Menurut Izany, modus operandi sindiket ialah dengan memperdaya mangsa menerusi laman sosial untuk menjual mata wang Amerika dalam kuantiti banyak.

"Dalam pertemuan yang dengan mangsa selepas itu, anggota sindiket akan menggunakan teknik mencuci 'black money' sebagai membuktikan kebolehan mereka menukar kertas hitam menjadi mata wang dolar Amerika," katanya.

Beliau berkata sebelum bertemu mangsa, beberapa keping wang asli dolar akan diletakkan di atas dan bawah lapisan kertas sebelum diikat bersama puluhan keping kertas kosong.

Katanya, apabila demonstrasi dilakukan anggota sindiket itu akan mengambil wang sebenar dan mencucinya menggunakan cecair khas di hadapan mangsa dengan demikian dapat mempengaruh mangsa.

Izany berkata mangsa kemudian akan teperdaya membeli cecair khas itu yang dijual secara berasingan berserta wang tersebut.

Beliau berkata semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebatan.

Sementara itu, Mohan Singh berkata seorang lelaki tempatan dan tiga wanita, seorang daripadannya warga asing, ditahan di sebuah premis hiburan di Jalan Loke Yew malam tadi dipercayai terlibat mengedar dadah di pusat hiburan itu.

Beliau berkata dalam serbuan pukul 10.10 malam itu, polis merampas 500 biji pil eramin 5, satu paket plastik lutsinar berisi 13 biji pil dipercayai Ecstasy dan satu paket ketamin seberat 23.71 gram dengan nilai rampasan kira-kira RM11,000 semuanya.

Siasatan polis mendapati suspek yang berumur lingkungan 21 hingga 43 tahun itu melakukan kegiatan sejak beberapa bulan lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan pula, dua lelaki juga warga tempatan berusia 23 tahun disyaki mengedar dadah ditahan di sebuah Apartmen di Bukit Jalil bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM8,000.

Mohan Singh berkata 53 paket heroin seberat 133 gram dan 19 paket syabu seberat 20.85 gram dirampas daripada suspek dalam serbuan itu pada 6.45 petang, Isnin lepas.

Katanya, kedua-dua suspek direman bermula semalam sehingga 10 Sept untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05


Tiada ulasan:

Catat Ulasan