Ahad, 16 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Gelaran Mat Rempit perlu dijenama semula

Posted: 15 Sep 2012 03:29 PM PDT

KUALA LUMPUR: Penunggang motosikal atau Mat Rempit di kalangan golongan muda perlu dijenama semula selepas sekian lama disalah anggap oleh segelintir pihak.

Ini berikutan golongan berkenaan memiliki semangat, aspirasi, kemahuan dan keistimewaan tersendiri yang sepatutnya menjadi rakyat Malaysia yang boleh dibanggakan.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, generasi muda pelapis masa depan dan harus dididik dan dibimbing supaya menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Menurutnya, penubuhan persatuan seperti Rempit United (RU) satu inisiatif yang dialu-alukan dan sebuah persatuan yang mewakili 239,000 penunggang motosikal adalah satu kekuatan.


"Kerajaan dan rakyat mengiktiraf pembabitan anak muda menyumbang tenaga dengan kerajaan untuk membantu memajukan negara. Kita mahu mereka bukan saja sebagai pemerhati, tetapi menjadi 'pemain' dalam proses pembangunan negara.


"Pendaftaran RU sebagai ahli Koperasi Belia 1 Malaysia (KOB1M) satu langkah bijak. Saya secara peribadi dan kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada anak muda yang ingin melakukan perubahan, bersama-sama memainkan peranan membantu memajukan negara," katanya.

Beliau berkata, tidak sepatutnya orang kita memberi alasan tiada pekerjaan, sedangkan ramai rakyat Indonesia dan Bangladesh datang ke sini untuk mencari rezeki.


"Hampir tiga juta masyarakat dari negara luar mencari rezeki di sini, kenapa kata tiada kerja tetapi (kita perlu) sanggup cari kerja, menyara diri dan keluarga," katanya ketika menghadiri majlis rumah terbuka anjuran RU di Jalan Sultan Ismail, di sini, semalam. Majlis dihadiri lebih 5,000 penunggang motosikal dan orang awam.

Presiden Rempit United, Wazi Abdul Hamid yang juga bekas jaguh lumba motosikal negara berkata, RU sebuah pertubuhan yang komited untuk menyemai nilai aspirasi tinggi di dalam budaya rempit.


"Tidak adil jika kita melabel semua Mat Rempit sebagai penjenayah, sedangkan kebanyakan mereka hanya anak muda yang ingin berseronok dan berekreasi.


"Ingin saya tegaskan diri sini, Mat Rempit bukan penjenayah. Penjenayah tetap penjenayah, tidak kira rempit atau tidak. Ahli RU harus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa," katanya.


Wazi menyerahkan petisyen kepada Presiden KOB1M, Mohd Eddy Casmady Che Husin sebagai tanda RU mendaftar dan menjadi ahli KOB1M sebagai langkah menyahut seruan kerajaan membentuk masyarakat berkoperasi dan bermutu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


‘Bantulah kami’

Posted: 15 Sep 2012 03:29 PM PDT

GOMBAK: "Bantulah kami." Itulah rintihan Pengasas Persatuan Sokongan Ibu dan Anak Kurang Upaya Azwar Kuala Lumpur dan Selangor (Psiaku Azwar), Shaarah Othman, 43, yang mengharapkan bantuan kewangan dan keperluan harian daripada orang ramai untuk mengurus rumah jagaan anak kurang upaya yang dikendalikannya di sini.

Shaarah berkata, sejak empat tahun lalu, pihaknya menghadapi masalah menguruskan rumah itu kerana tidak mendapat sokongan kewangan dan dana.


Setakat ini, katanya, rumah Psiaku Azwar memerlukan RM24,000 sebulan untuk perbelanjaan harian, rawatan susulan ke hospital serta belanja pengurusan bagi menjaga 43 anak kurang upaya.

"Saya pernah meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun kami difahamkan tiada dana disediakan untuk rumah jagaan anak kurang upaya.


"Yang boleh saya lakukan sekarang hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai dan bantuan badan korporat yang prihatin," katanya pada Majlis Penutup Hari Raya Rumah Anak Kurang Upaya Kritikal Terlantar anjuran Universiti Kuala Lumpur (UniKL), di sini, semalam.


Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Presiden UniKL (Keusahawanan Teknologi dan Hal Ehwal Pelajar), Profesor Ahmad Zahir Mokhtar.

Sempena majlis itu semalam, Sime Darby Berhad menyumbang barangan keperluan harian, perubatan dan duit raya kepada penghuni Psiaku Azwar.


Pelajar, Atika Mohd Sahar, 23 yang mewakili UniKL menguruskan majlis itu berkata, pembabitan pelajar dengan program berkenaan diharap memupuk semangat sukarelawan dalam memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

"Sebagai pelajar, aktiviti begini bukan saja mendekatkan diri kepada masyarakat, malah memberi kesedaran kepentingan berbakti kepada golongan kurang bernasib baik," katanya.


Seramai 38 pelajar UniKL terbabit dalam majlis berkenaan semalam untuk menjalankan aktiviti gotong-royong, bacaan tahlil dan doa selamat.


UniKL turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Tiada ulasan:

Catat Ulasan