Jumaat, 14 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Pasangan diraja Britain berlepas ke Kota Kinabalu

Posted: 14 Sep 2012 04:15 AM PDT

SEPANG: Pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah hari ini dalam siri lawatan rasmi empat hari Duke dan Duchess of Cambridge itu ke Malaysia bermula semalam.

Putera William dan Catherine berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 4.45 petang.

Di Kota Kinabalu, pasangan diraja itu akan diraikan pada majlis sambutan yang dianjurkan kerajaan negeri Sabah malam ini dan dijadual mengadakan lawatan ke Lembah Danum, hutan hujan tropika utama di Sabah esok.

Semalam, pasangan diraja itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana selain menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada majlis santapan diraja di Istana Negara.


Selain itu, pasangan diraja itu turut melawat Hospis Malaysia, pertubuhan amal yang menawarkan penjagaan paliatif profesional kepada pesakit menghidap penyakit hayat terhad dan Taman KLCC.


Malaysia merupakan destinasi kedua selepas Singapura dalam lawatan selama sembilan hari pasangan diraja itu ke negara Asia Tenggara dan Asia Pasifik bagi mewakili Ratu Elizabeth II bersempena sambutan 60 tahun pemerintahan baginda.

Putera William dan Catherine dijadual berlepas ke Kepulauan Solomon pada Ahad, untuk meneruskan lawatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/14


Terengganu bakal miliki institut Kaligrafi Islam pertama di Asia

Posted: 14 Sep 2012 03:36 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Terengganu bakal memiliki Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa pertama di Asia tidak lama lagi dengan termetrainya dua perjanjian persefahaman (MoU) di sini hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, MoU pertama dimetrai antara TTI Management Sdn Bhd (TTIMSB), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Research Centre for Islamic History, Art and Culture (IRCICA) dari Turki.

Manakala satu lagi MoU adalah antara TTI Management Sdn Bhd dan Institut Al-Quran Terengganu (IQ Terengganu).

"Institut itu akan ditempatkan di TTI dan IRCICA akan berkongsi kepakaran, nasihat serta pelbagai maklumat dalam bidang kaligrafi. Buat permulaan IRCICA akan menghantar beberapa orang tenaga pengajar dalam bidang kaligrafi.


"Saya harap institut ini berkembang sebagai sayap kepada IRCICA di sebelah Asia ini. TTI Management Sdn Bhd, UniSZA dan IQ Terengganu pula berperanan memastikan operasi harian institut itu berjalan dengan lancar," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/14


Tiada ulasan:

Catat Ulasan