Rabu, 12 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


DBKL akan lindungi maklumat pelapor penyalahgunaan kediaman PPR

Posted: 12 Sep 2012 03:22 AM PDT

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan akan melindungi identiti pemberi maklumat dalam menangani isu penyalahgunaan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, setiap maklumat akan ditangani dengan telus dan penuh berintegriti agar tidak memudaratkan pihak berkaitan.

Justeru, orang ramai tidak perlu ragu-ragu untuk tampil melaporkan kes sedemikian, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Makanan dan Kebudayaan Kuala Lumpur 2012 di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Ahmad Phesal sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya menerima banyak laporan bahawa bantuan rumah PPR yang bertujuan menaik taraf kualiti hidup keluarga miskin, telah disewa kepada orang ketiga.


Mengenai ganjaran yang sebelum ini dilaporkan mungkin diberi kepada pengadu, Ahmad Phesal berkata, DBKL sedang berbincang dengan beberapa pihak mengenai bentuk ganjaran bagi kes yang membawa kepada pengesanan pemilik yang menyewakan unit mereka kepada pihak ketiga. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/12


Lelaki dikehendaki polis kes tembak anak tiri ditemui mati

Posted: 12 Sep 2012 03:19 AM PDT

IPOH: Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana mencederakan dan menembak anak tirinya dengan pistol ditemui mati di tepi jalan di Km282 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Ampang, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, lelaki yang dikenali sebagai S. Ravindran, 40, ditemui pada jam 11.30 pagi tadi oleh orang awam.

"Polis yang membuat pemeriksaan mendapati, lelaki tersebut mengalami kecederaan di kepala dengan kesan tembakan serta menemui sepucuk pistol jenis Norinco di sisi mayatnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menemui sebuah motosikal yang digunakan oleh lelaki berkenaan.


Katanya, siasatan polis mendapati lelaki terbabit yang merupakan bekas anggota tentera udara dipercayai membunuh diri selepas lari dari kejadian menembak anak tirinya yang berusia 15 tahun di rumah mereka di Laluan Panorama Rapat Indah, Gunung Rapat, semalam. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/12


Tiada ulasan:

Catat Ulasan