Isnin, 10 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis buru lelaki terlibat kes tetak penyelia ladang di Beluran

Posted: 10 Sep 2012 05:33 AM PDT

BELURAN: Polis sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penyelia sebuah ladang kelapa sawit di sini, yang mati ditetak dalam satu pergaduhan semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran DSP Sivanathan Velautham berkata lelaki itu hanya dikenali sebagai Arsel berusia dalam lingkungan 20-an.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran di talian 08-9511222.

Sivanathan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa Manuel Quimson, 26, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.


Sebelum kejadian, beliau berkata mangsa telah menegur tiga pekerjanya mengenai sikap mereka yang sering meminum minuman keras.


"Salah seorang pekerja mangsa yang dipercayai mabuk naik berang dan berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek menetak mangsa menggunakan sebilah parang," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Polis lumpuh sindiket aktif curi kenderaan Proton dan Perodua

Posted: 10 Sep 2012 04:22 AM PDT

MIRI: Satu sindiket yang aktif mencuri kenderaan Proton dan Perodua di bandar raya Miri sepanjang Februari hingga September tahun ini berjaya dilumpuhkan polis dengan penahanan tiga lelaki rakyat tempatan, minggu lepas.

Ketua Polis Miri, ACP Mun Kok Keong berkata, ketiga-tiga suspek yang berumur 29 hingga 55 tahun ditahan pada 7 dan 8 Sept lalu dengan salah seorang suspek ialah pemilik sebuah bengkel membaiki kenderaan yang terletak di Lorong 6 Krokop.

"Polis berjaya selesaikan tujuh kes curi kenderaan antara Februari hingga September tahun ini selepas penemuan enjin di bengkel itu," katanya di sini hari ini.

Mun berkata polis juga yakin 10 kes kecurian dilaporkan pada tempoh yang sama akan diselesaikan dalam masa terdekat berikutan penemuan enjin-enjin di bengkel yang sama tetapi nombor enjin tersebut dikikis oleh suspek untuk mengelak dicam polis. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10


Tiada ulasan:

Catat Ulasan