Sabtu, 15 September 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


KL sekat filem hina Rasulullah

Posted: 15 Sep 2012 03:33 PM PDT

Malaysia menyekat penyiaran filem Innocence of Muslims yang menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana menghina Nabi Muhammad SAW.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata beliau sudah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berunding dengan semua pihak berkuasa supaya tidak membenarkan akses kepada paparan itu sama ada melalui YouTube atau saluran lain.

YouTube tak peduli bantahan
Google menyekat klip video filem itu dalam YouTube di India, Libya dan Mesir, manakala Kerajaan Afghanistan menyekat sepenuhnya seluruh laman YouTube.

Rais berkata, adalah menjadi tanggungjawab YouTube untuk mengeluarkan filem itu daripada arkibnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, YouTube dilihat seolah-olah tidak peduli dengan kekecohan dan bantahan yang berlaku di negara-negara Islam ketika ini.

Video itu yang dimuat naik ke YouTube baru-baru ini, mencetuskan bantahan besar-besaran di negara Islam kerana memberikan gambaran negatif mengenai Islam.
Menyatakan langkah mengeluarkan video itu daripada YouTube tidak termasuk dalam keupayaan teknikal kami, Rais berkata SKMM bertanggungjawab daripada segi undang-undang mengambil langkah sesuai dan pencegahan untuk menyekat kandungan video itu daripada diakses di Malaysia.

Rais berkata, sekatan terhadap filem itu bertujuan memberi amaran kepada mana-mana pihak, sama ada di dalam atau luar negara bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen negatif yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Impak negatif

Kerajaan tidak mahu penyiaran filem itu mendatangkan impak negatif jangka panjang, katanya kepada pemberita di Bintulu, Sarawak, semalam.

SKMM pula memaklumkan sudah meminta kerjasama pihak luar negara agar kandungan filem itu tidak dapat diakses di Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata pihaknya sudah mengambil tindakan segera apabila filem itu mendapat kecaman dari seluruh umat Islam di dunia.

Kandungan filem itu di luar negara, jadi pihak luar sedang membantu kita... dari segi teknikal ia memerlukan masa, katanya kepada BERNAMA, malam tadi.

Dalam pada itu, penerbit filem Innocence of Muslims, Nakoula Basseley Nakoula, menyerah diri secara sukarela kepada pihak berkuasa di Los Angeles, semalam.

Ketika dibawa keluar dari rumahnya, Nakoula, 55, kelihatan menutup mukanya, selain memakai topi.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pembikinan filem berkenaan jelas berniat jahat untuk menimbulkan provokasi terhadap umat Islam supaya melakukan sesuatu tindak balas untuk memburukkan agama Islam.

Kita di KDN belum menerima permintaan untuk (kelulusan) menayangkan filem ini tetapi jelas kemarahan umat Islam membuak-buak, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu, semalam.

Di MEMBAKUT (Sabah), Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata pihak yang bertanggungjawab menghasilkan filem menghina Islam itu perlu melakukan sesuatu bagi membetulkan keadaan demi keamanan sejagat.

Dalam hal ini, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sudah mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem itu.

Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis, berkata penerbitan filem itu adalah antara contoh kebebasan bersuara yang kadang kala tidak membawa manfaat kepada rakyat.

Menjelang Bajet 2013: Bajet utamakan pendidikan

Posted: 15 Sep 2012 03:27 PM PDT

Ipoh: Sektor pendidikan dijangka terus menerima peruntukan terbesar Bajet 2013, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, sektor itu antara fokus utama bajet terutama dalam menjayakan apa yang terkandung dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

"Biasanya bidang pendidikan menjadi fokus terutama sekarang kita nak buat transformasi pendidikan.
"Kita tahu dalam kita nak mempertingkatkan atau membuat perubahan struktur ekonomi itu memerlukan pengetahuan dan skil berbeza pada masa sekarang serta akan datang, jadi fokus kita (peruntukan disediakan) dalam bidang pendidikan akan diberi keutamaan dan biasanya jumlahnya begitu besar," katanya.

Husni bagaimanapun enggan mengulas sama ada sektor itu akan menerima peruntukan sama seperti tahun lalu iaitu RM50.2 bilion atau bertambah. Beliau juga enggan menyebut kementerian mana dijangka mendapat tambahan ketara peruntukan bajet.

Beliau ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Pemimpin-Pemimpin Parlimen Barisan Nasional (BN) Tambun sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu di Kolej Sains Bersekutu Hulu Kinta, Tanjung Rambutan, dekat sini, semalam.

Husni berkata, keutamaan bajet juga bagi memperkukuhkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) selain menjaga kepentingan masyarakat ketika ekonomi dunia tidak stabil kini.
Kerjasama awam-swasta

"Kita juga memberi fokus kepada pembangunan dan sudah ada peruntukan untuk pembangunan. Kita juga sudah memperkenalkan kerjasama awam-swasta) dan oleh kerana ada kerjasama ini, sektor swasta akan membiaya sebahagian besar pembangunan.

"Maknanya, setiap RM1 yang kita (kerajaan) belanja kadang-kadang kita boleh mendapat hingga RM3 atau RM4 pembabitan swasta. Jadi, RM1 itu ada kesan berganda yang besar kepada pembangunan negara," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan