Khamis, 13 September 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


18,522 peluang kerja

Posted: 13 Sep 2012 03:04 PM PDT

Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tujuh lagi projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan pelaburan RM5.6 bilion yang akan mewujudkan 18,522 pekerjaan.

Pelaburan itu dijangka menjana pendapatan negara kasar (PNK) bernilai RM2.36 bilion.

Keseluruhannya 28 projek sudah diumumkan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) tahun ini membabitkan pelaburan RM26.07 bilion yang akan menjana PNK bernilai RM6.96 bilion serta mewujudkan 51,130 pekerjaan menjelang 2020.
Lebih selektif

Perdana Menteri berkata, dalam usaha mendapatkan pelaburan langsung asing, kerajaan akan lebih selektif serta memberi keutamaan kepada pelaburan yang menjanjikan PNK kerana ia membantu peralihan negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Tujuh pelaburan itu, menepati bidang tumpuan kerajaan kerana membabitkan industri teknologi tinggi, teknologi tenaga alternatif dan hijau serta industri pengetahuan intensif, katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, sejak pelancarannya hampir dua tahun lalu, projek di bawah ETP berjalan lancar dengan kebanyakan yang sudah diumumkan mula dilaksanakan.
Pelaksanaan projek itu, katanya turut menyumbang pertumbuhan ekonomi negara seperti dibuktikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berkembang 5.4 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 4.3 peratus pada suku sama tahun lalu.

Pelaburan terbesar yang diumumkan ialah dalam sektor minyak dan gas. Sebuah konsortium terdiri daripada Dialog Group Bhd, kerajaan negeri Johor dan Royal Vopak akan melabur RM4.08 bilion untuk memajukan Projek Terminal Gas Asli Cecair (LNG) Pengerang dengan terminal penyimpanan, muat turun dan pengegasan semula LNG untuk mengimport bahan itu bagi tujuan urus niaga dan penggunaan domestik.

Dalam penjagaan kesihatan, Ranbaxy Laboratories Ltd, firma farmaseutikal terbesar India dengan kerjasama beberapa syarikat tempatan melabur RM125 juta untuk membina kilang pengeluaran kedua di Malaysia, yang akan menjadi salah sebuah daripada lapan hab pembuatan global Ranbaxy untuk eksport ubat-ubatan generik.

Bajet 2013: Guru menganggur dapat perhatian

Posted: 13 Sep 2012 03:01 PM PDT

Nilai: Nasib 10,200 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang sehingga kini masih belum ditawarkan pekerjaan sebagai guru akan diketahui pada pembentangan Bajet 2013, 28 September ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan sesuatu yang akan mengubah nasib mereka.

Jalan penyelesaian
Kementerian akan mencari penyelesaian masalah ini, bagaimanapun graduan perlu bersabar menantikan pengumuman itu.

Semoga ada berita gembira, katanya pada sidang media selepas merasmikan Politeknik Nilai, di sini, semalam. Politeknik ke-23 itu ditubuhkan pada April 2007.

Sebelum ini, media melaporkan, 13,000 graduan pendidikan yang mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan berkenaan sehingga ada yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Politeknik Premier iaitu Politeknik Ungku Omar, Perak; Politeknik Johor Bahru (Johor) dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Selangor akan menyediakan lebih 10 program pengajian peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan.
Beliau berkata, program itu akan dilaksanakan sama ada secara berkembar atau anugerah bersama dengan institusi lain atau program pengajian yang dibangun dan dilaksanakan oleh politeknik.

Penambahan program ijazah di politeknik dibuat kerana permintaan lepasan pelajar politeknik ke institusi pengajian tinggi (IPT) semakin ramai. Daripada 12,000 permohonan hanya 3,000 saja diterima.

Selain itu, dengan adanya lebih banyak program, usaha mengiktiraf politeknik menjadi universiti yang menawarkan program berasaskan kemahiran pasti dapat direalisasi, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan