Rabu, 12 September 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Manfaat pelajar, pendidik

Posted: 12 Sep 2012 02:37 PM PDT

Keputusan kerajaan mengubah sistem pendidikan negara mendapat sokongan semua pihak dan pada masa sama memberikan pelbagai cadangan penambahbaikan.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin itu bagi memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik bersandarkan keperluan semasa dan masa hadapan mencabar.

Generasi sekarang makin cerdik
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata anak-anak zaman sekarang semakin cerdik dan cepat matang, jadi tak perlu bersekolah terlalu lama.

Dengan perubahan ini, pada usia 21 tahun mereka sudah lulus sebagai siswazah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata, laporan itu memberi petanda baik kepada masa depan pendidikan negara dan yakin ia dapat membantu kerajaan terus melakukan transformasi pendidikan yang merentasi politik bagi melahirkan generasi berwibawa.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, berkata pelan itu adalah satu rancangan jangka panjang yang memberi banyak manfaat kepada pendidik.
Saya lihat, apa yang ditegaskan Perdana Menteri adalah untuk meningkatkan prestasi pendidik. Untuk itu, ia memerlukan perubahan sikap semua pihak dalam bidang pendidikan, katanya.

Di Jerantut, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sabri Arshad yang menyokong pelan itu mahu laporan itu dilaksanakan dengan penuh teliti, komprehensif dan berhati-hati dari semua sudut bagi mengelak kegagalan.

Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), Jemale Paiman, pula berpendapat laporan pelan tindakan holistik itu membabitkan semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar dalam usaha menjaga piawaian pendidikan setara.

Ini akan merapatkan jurang perbezaan mutu pendidikan di bandar dan luar bandar kerana selama ini ramai beranggapan perbezaan lokasi menentukan mutu dan kejayaan sesebuah sekolah, katanya.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam pula menyarankan beberapa penambahbaikan dilakukan untuk menjadikan pelan itu lebih inklusif.

Katanya, dasar pendidikan negara sepatutnya menghapuskan sistem dikotomi dengan memastikan semua aliran sekolah diberi karektor kebangsaan dan bersifat inklusif untuk kepentingan perpaduan nasional.

Tidak dinyatakan bagaimana sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah agama yang dikategorikan sekolah jenis kebangsaan dan menerima bantuan kewangan terhad, boleh dijadikan sekolah bantuan penuh dan sekolah kebangsaan. Majoriti pelajar di sekolah mubaligh adalah pelajar Melayu, maka kajian semula adalah perlu, katanya.

Industri kreatif dipertingkat

Posted: 12 Sep 2012 02:29 PM PDT

Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak melancarkan MyCreative Ventures Sdn Bhd, cabang pelaburan kerajaan yang bermatlamat meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap lebih tinggi.

Anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada 20 April lalu itu menerima peruntukan RM200 juta, yang akan dilabur menerusi ekuiti atau pinjaman kepada syarikat kreatif tempatan berdaya maju.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu akan memberi nafas baru kepada industri kreatif tempatan di samping meningkatkan lagi standard serta kepentingannya kepada ekonomi negara.
"Dengan adanya MyCreative Ventures, usahawan boleh mendapatkan modal sama ada dalam bentuk ekuiti atau pinjaman.

"Modal itu menyediakan peluang kepada idea baru untuk diketengahkan dalam bentuk model perniagaan berdaya maju dengan potensi menjana pendapatan," katanya berucap melancarkan MyCreative Ventures di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Pengerusi MyCreative Ventures, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dan Ketua Eksekutif MyCreative Ventures, Johan Mohamed Ishak.

Kembangkan bakat Najib berkata, kreativiti boleh dianggap bakat yang ada pada ramai rakyat Malaysia. Namun, bakat yang tidak diberi peluang berkembang akan membuatkannya terpendam atau terbatas.

"Sesuatu perkara itu perlu mempunyai nilai kreativiti, namun ia perlu bersandarkan kepada model perniagaan mapan, jika tidak semua yang diusahakan tidak berguna. Di sinilah letaknya hasrat kerajaan untuk memajukan industri kreatif tempatan," katanya.

Najib berkata, menerusi MyCreative Ventures, kerajaan akan dapat mengukuhkan perjuangan industri kreatif di negara ini dengan sokongan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN).

Tertarik pemikiran kreatif

"Industri kreatif yang dimaksudkan itu terdiri daripada bidang seni visual, seni persembahan, muzik, kesusasteraan, kandungan kreatif seperti animasi dan perfileman, seni fesyen dan rekaan serta seni tradisional seperti kraf tangan, batik dan sebagainya," katanya.

Cadangan menubuhkan MyCreative Ventures itu juga katanya, disebabkan beliau sendiri tertarik dengan corak pemikiran kreatif, khususnya jika ada masalah yang memerlukan penyelesaian secara kreatif.

Pemikiran secara konvensional, katanya bermakna sesuatu penyelesaian itu tidak dapat dicapai secara optimum, berlipat ganda serta kreatif.

"Sebagai manusia, daya imaginasi kita tiada batasnya. Kita mampu mencetuskan idea yang kreatif walaupun pada mulanya dianggap pelik, namun akhirnya jika yakin dengan idea itu, ia pasti membuahkan kejayaan," katanya.

Beliau memberi contoh kejayaan lagu rap terkenal Korea Selatan, Oppa Gangnam Style oleh PSY yang berjaya menarik 149 juta tontonan di YouTube sehingga dijadikan modal kempen calon presiden Amerika Syarikat dari parti Republikan, Mitt Romney.

"Kita lihat kejayaan Korea yang sebelum ini terkenal dengan bidang perindustrian dan teknologi dapat membangunkan bidang kreatif 'K-Pop' hingga mendapat tempat di persada antarabangsa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan