Selasa, 11 September 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


11 anjakan ubah sistem pendidikan

Posted: 11 Sep 2012 06:36 PM PDT

Babit semua jenis sekolah, jamin setiap rakyat dapat pelajaran terbaik

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara.

Perdana Menteri berkata, pelan pembangunan pendidikan itu akan memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik bersandarkan keperluan semasa dan masa hadapan yang mencabar.
Melalui pelan itu katanya, kerajaan berharap rakyat terutama generasi muda mempunyai akses yang sama dalam bidang pendidikan berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi, etnik, keupayaan fizikal atau latar belakang.

Berani, telus, demokratik

Sambil menyifatkan pelan berkenaan sebagai komprehensif, berani, telus dan demokratik, beliau mahu setiap sasaran pelan itu dapat memberi kesan kepada semua jenis sekolah sama ada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Agama, Sekolah Mubaligh, Sekolah Swasta dan Sekolah Antarabangsa yang berada dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, kewujudan semua jenis sekolah itu mencerminkan legasi, kepelbagaian dan komitmen rakyat Malaysia terhadap pendidikan dan kepentingannya dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia.
"Kerajaan sentiasa menangani setiap isu pendidikan sebagai isu nasional yang melampaui politik dan sentimen kepartian. Ini bagi memastikan kita membuat keputusan semata-mata kepada kepentingan anak-anak dan bukannya bersifat populis.

"Matlamat kita agar setiap anak Malaysia tidak kira daripada mana dan kumpulan etnik mendapat manfaat sepenuhnya daripada dasar pendidikan yang dirancang ini," katanya berucap melancar-kan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini semalam.

Kuasai bahasa kebangsaan

Perdana Menteri menegaskan selepas negara mengecapi kemerdekaan selama 55 tahun, setiap rakyat mesti sekurang-kurang bertutur dalam Bahasa Kebangsaan dengan baik.

"Kita hendak tegaskan di semua jenis sekolah, mesti menguasai bahasa kebangsaan kita, bertutur dengan baik. Ini bukan soal politik, ini soal nasional," katanya.

Malah, beliau turut menekankan kepentingan bersikap pragmatik dengan menguasai tiga bahasa supaya berdaya saing, dengan tidak mensia-siakan kelebihan wujudnya berbilang kaum, bahasa dan budaya di negara ini.

Dalam transformasi pendidikan kali ini, Najib turut mencadangkan pelaksanaan Sastera Inggeris bagi membantu penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris, di mana Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan modul itu yang diwajibkan kepada murid sekolah menengah.

"Saya fikir kalau nak belajar bahasa Inggeris, kita mesti mengajar Sastera Inggeris di sekolah tetapi secara berperingkat. Jika tidak boleh Shakespeare, mula dengan Enid Blyton kemudian versi Shakespeare yang dipermudahkan dan akhirnya versi penuh. Sastera Inggeris amat penting," katanya.

Berani berubah

Najib berkata, Kementerian Pelajaran mengambil sikap yang bertanggungjawab dengan mengakui kelemahan yang ada dan pada masa sama berani melaksanakan perubahan dan anjakan bagi merencana hala tuju lebih baik dalam pendidikan.

Pelan awal itu juga akan menjemput cadangan balas, kritikan komen dan sokongan bersesuaian dengan hakikat bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.

"Rupa bentuk negara masa depan akan ditentukan oleh keputusan, langkah dan tindakan yang kita ambil hari ini. Kita tidak mampu menangguhkan atau berdikit demi masa depan lebih baik dan untuk mengaut laba masa hadapan kita perlu berani melabur serta menyemai secara bijak," katanya.

Sekilas...

  • Pelajar pintar selesaikan UPSR dalam lima tahun dan SPM empat tahun.
  • Peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan beri fokus kemahiran berfikir aras tinggi. Contoh, 80 peratus soalan UPSR berbentuk pemikiran aras tinggi.
  • Sastera Inggeris diwajibkan di sekolah menengah. − Penjenamaan semula Tingkatan Enam - kelonggaran pemakaian pakaian seragam, Majlis Pelajar ditubuh.
  • Bahasa Malaysia standard di SK atau SJK mulai Tahun Empat pada 2014. Kelas peralihan mansuh 2017.
  • Insentif bagi guru besar/pengetua di luar bandar dan sekolah berprestasi rendah, antaranya elaun, laluan pantas kenaikan pangkat.
  • Guru cemerlang boleh dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 lebih cepat berbanding purata ketika ini 25 tahun.
  • Guru yang mencatat prestasi rendah selepas bimbingan, akan diberi tugas lain seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum.

KPI capai sasaran pelan pendidikan

Posted: 11 Sep 2012 03:43 PM PDT

Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran akan menetapkan indeks prestasi utama (KPI) kepada semua pegawai kumpulan pengurusan tertingginya bagi mencapai sasaran dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

KPI itu pula akan diperturunkan ke peringkat bawah, dari kementerian sehingga sekolah, bagi memastikan matlamat yang ingin dicapai adalah tekal dan selari.

Langkah ini bagi memastikan matlamat pelan pendidikan berkenaan benar-benar memberi impak besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, berkata berikutan itu, kementerian akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan untuk memacu isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklum balas secara berterusan.

Hasil rundingan awam

"Inilah julung kali dalam sejarah, satu pelan pembangunan pendidikan untuk rakyat disediakan hasil rundingan awam secara telus dan terbuka. Lebih 90 peratus pandangan dikemukakan orang ramai menerusi siri jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara.

"Selepas ini, kementerian akan mengadakan hari terbuka untuk membolehkan masyarakat meneliti kandungan pelan ini, mendapat penjelasan dan mengemukakan maklum balas lanjut kepada kerajaan, khususnya kementerian.
"Saya percaya apabila dibentangkan kepada Kabinet dan dimuktamadkan pada Disember nanti, ia adalah pelan pendidikan yang sarat dengan cita-cita dan harapan rakyat, insya-Allah," kata beliau berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Awal PPPM 2013-2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, PPPM adalah dokumen komprehensif, malah satu referendum bersejarah, yang mengenal pasti bidang keutamaan, meletakkan sasaran, menyenarai inisiatif penting, melakar pelan tindakan jelas dan menetapkan jangka masa untuk mencapai setiap sasaran.

Ambil langkah berani

Beliau berkata, tiada jalan pintas atau tongkat ajaib untuk mengatasi kelemahan pencapaian murid dalam pentaksiran peringkat antarabangsa, antaranya berada di tempat sepertiga terbawah bagi Bacaan, Matematik dan Sains daripada 74 negara menyertai ujian Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2009.

"Sebaliknya kita perlu akur dengan realiti semasa, jujur melakukan pembetulan dan mengambil langkah berani melonjakkan prestasi pendidikan negara," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan