Berita Harian: Nasional |
Posted: 09 Sep 2012 07:47 PM PDT Mesyuarat Majlis Syura PAS tak bincang kedudukan bekas Timbalan Presiden Kuala Lumpur: PAS mengekalkan bekas Timbalan Presiden parti, Nasharuddin Mat Isa sebagai ahli Majlis Syura PAS. Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat Majlis Syura Pas yang dipengerusikan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din malam tadi tidak membincangkan kedudukan Nasharuddin. Tak bincang kedudukan "Tak ada langsung dibincangkan dalam mesyuarat malam ini. Beliau masih ahli Majlis Syura," katanya kepada media sejurus mesyuarat selesai di ibu pejabat PAS, di sini. Ketika ditanya sekali lagi sama ada isu mengenai masalah Nasharuddin dibincangkan, beliau secara tegas menjawab: "Tak timbul sebarang masalah." Nasharuddin yang ditanya mengenai kedudukannya ketika keluar daripada mesyuarat bersama Abdul Hadi, hanya berkata: "Saya ikut presiden (Abdul Hadi)." Beliau sebelum ini menerima kecaman beberapa pihak dalam PAS berikutan kenyataannya sekembali dari Makkah baru-baru ini yang dianggap melanggar dasar parti. Ahli Parlimen Bachok itu juga meminta PAS mengkaji semula kedudukan parti dalam pakatan pembangkang selepas DAP secara konsisten menolak dasar parti untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud. Kenyataan keras Nasharuddin itu dilihat bercanggah dengan pendirian parti dan ditentang pemimpin PAS, termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang secara terbuka menggesanya keluar parti. Pada 25 Ogos, Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Pusat yang dipengerusikan Abdul Hadi tidak membuat sebarang keputusan mengenai Nasharuddin, sebaliknya memutuskan kedudukan pemimpin itu akan ditentukan Majlis Syura PAS. Mengenai sama ada Nasharuddin akan dicalonkan semula untuk pilihan raya umum akan datang, Abdul Hadi berkata, ia akan ditentukan kemudian. "Majlis Syura hanya mengadakan mesyuarat biasa membincangkan mengenai calon pilihan raya bagi pastikan calon berwibawa sebelum diputuskan," katanya. Bagaimanapun, katanya, parti menerima banyak senarai calon berwibawa sehingga ada empat calon bagi satu kawasan. Mesyuarat berlangsung kira-kira dua jam sehingga kira-kira jam 11 malam, tetapi Nik Abdul Aziz dilihat keluar daripada bilik mesyuarat pada jam 9.20 malam, selepas dikatakan memberi pandangannya mengenai isu Nasharuddin. |
GP Joran 2012: Sesungut sotong pikat tenggiri juara Posted: 09 Sep 2012 07:41 PM PDT Pekan: Pentadbir Kolej Ekonomi Rumah Tangga (ERT) dari Setapak, Kuala Lumpur, Mat Irahim Selamat, 51, dinobatkan juara Pusingan Keempat GP Joran 2012 yang berakhir di Kuala Pahang, dekat sini semalam. Hasil tangkapan tenggiri 9.64 kilogram (kg) membawa tuah buat Irahim yang berjaya membawa pulang wang tunai RM20,000 dan hadiah iringan daripada penaja. Juara Kategori Pantai dimenangi Mohd Zaki Abdullah, 38, dari Terengganu dengan hasil tangkapan ebek/cermin seberat 6.105kg.Beliau turut membawa pulang wang tunai RM20,000 dan hadiah iringan penaja. Tempat kedua dan ketiga Kategori Laut dimenangi Mohd Adris Selamat, 60, dari Johor dan peserta Pahang, Mahmud Mohamad, 54, dengan tangkapan ebek/cermin, masing-masing seberat 5.5kg dan 5.48kg. Mohd Adris dan Mahmud, masing-masing turut membawa pulang RM10,000 dan RM4,000 berserta hadiah iringan daripada penaja. Sementara itu, gelaran naib johan dan pemenang ketiga Kategori Pantai diraih Mohd Sanusi Ismail, 39, dari Terengganu dan Fauzi Mohamed Ali, 44, dari Pahang, selepas masing-masing menaikkan pari seberat 4.28kg dan 0.845kg, sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 dan RM4,000 berserta hadiah iringan. Hadir sama, Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Bhd, Datuk Ahmad A Talib serta Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid. Turut hadir Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Zamri Mohammad dan Penghulu Kuala Pahang, Hassan Mohd Shukur. Ketika ditemui, Irahim berkata, tenggiri itu dinaikkan pada jam 10 malam kelmarin menggunakan umpan sesungut sotong mati. Candat sotong sendiri "Ikan terbabit melarikan umpan secara mengejut selepas joran dilabuhkan kira-kira 15 minit. "Usaha saya mencandat sendiri sotong segar di Merchong, Pahang dua hari sebelum pertandingan untuk dijadikan umpan pada GP Joran sangat berbaloi," katanya. Karnival GP Joran di Kuala Pahang dianjurkan Unit Joran BH dengan kerjasama Pejabat Parlimen Pekan, Pejabat Tanah dan Daerah Pekan, LKIM Kuala Pahang dan Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Pahang (PNKP). Pusingan Grand Slam di Tanjung Leman, Mersing, Johor akan berlangsung 6 dan 7 Oktober ini. Untuk laporan penuh aksi saingan di Kuala Pahang, dapatkan sisipan Joran dalam BH Jumaat ini. Klik pautan untuk lihat galeri khas Pusingan Keempat GP Joran 2012 di http://bit.ly/TGF6Tn |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan