Ahad, 9 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


MPM cadang tubuh pusat pemulihan sivik untuk kumpulan biadab

Posted: 09 Sep 2012 02:42 AM PDT

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini mencadangkan supaya Jabatan Perpaduan Negara menubuhkan sebuah Pusat Pemulihan Sivik bagi menempatkan kumpulan yang berkelakuan biadab dan tidak menghormati undang-undang negara.

Setiausaha Agungnya, Hasan Mad, berkata pusat itu dipercayai dapat memberi pengajaran dan penjelasan kepada kumpulan berkenaan akan akibat perlakuan mereka kepada negara.

"Jabatan Perpaduan Negara jangan lagi berdiam diri. Kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan kepada rakyat kerana kepentingan politik," katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai insiden memijak gambar pemimpin negara dan meminta Jalur Gemilang diturunkan serta digantikan dengan bendera lain pada malam sambutan ambang merdeka di Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.

Hasan berkata sekiranya perkara ini tidak diatasi, dikhuatiri masyarakat bakal berhadapan dengan masalah jatidiri serius, lemah kesedaran sivik dan terpesong jauh dari nilai budaya dan agama.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, sehingga kini belum ada satu pun tindakan tegas diambil Jabatan Perpaduan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri itu sama ada 'merawat' atau mencegah budaya biadab kumpulan pelampau itu.

"Sebelum ini beberapa golongan pelampau pernah mencabar keharmonian negara ini dengan memperlekeh lagu Negaraku.
"Apabila tiada tindakan setimpal diambil atas apa yang mereka lakukan, maka ia mencetuskan keberanian lain-lain kumpulan pelampau untuk melakukan sesuatu yang lebih berani daripada itu," katanya.

MPM dianggotai lebih 220 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu, Islam dan Bumiputera. - BERNAMA

Acu senjata api: Pengawal peribadi Anwar dibebaskan

Posted: 09 Sep 2012 02:37 AM PDT

MELAKA: Polis Melaka sudah membebaskan pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan mengacu senjata api ke arah orang ramai pada majlis anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kampung Baru Rim, Jasin, dekat sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata lelaki berusia 37 tahun yang juga ketua pengawal peribadi ketua pembangkang itu dibebaskan jam 9 malam semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini.

Beliau berkata, lelaki berkenaan ditahan dan disiasat berhubung lima laporan polis mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ugutan secara jenayah yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah antara jam 3.30 petang dan 4 petang semalam.
"Namun dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas kami merakam percakapannya dan berpuas hati dengan keterangan yang diberi," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai lesen senjata api yang sah dan hasil keterangannya mendapati tindakannya itu tidak mengancam sesiapa, sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai pengawal peribadi.

Bagaimanapun, Raja Shahrom berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut melalui rakaman video atau gambar yang dirakam orang awam seperti yang dilapor sebuah akhbar tempatan hari ini.

Dalam kejadian jam 3.15 petang semalam, pengawal peribadi yang menaiki kereta jenis Toyota Camry dipercayai berang dan keluar dari kenderaan sebelum mengacukan pistol susulan sekumpulan lelaki cuba menghalang bas yang dinaiki Anwar untuk ke majlis anjuran PKR.
Marah dengan perbuatan lelaki itu, orang ramai yang berada berhampiran tapak program Jelajah Merdeka Rakyat menyerbu ke arah lelaki berkenaan sehingga keadaan kemudian menjadi kecoh.

Raja Shahrom berkata, polis turut menyiasat laporan berhubung dakwaan bas yang dinaiki Anwar dan penyokongnya disimbah cat merah serta dilontar beberapa botol air minuman ketika tiba di lokasi kejadian. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan