Khamis, 6 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kerajaan cari kaedah bantu pekebun kecil getah dan sawit: Shafie Apdal

Posted: 06 Sep 2012 03:37 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mencari kaedah terbaik untuk membantu pekebun kecil getah dan kelapa sawit yang kini berdepan krisis penurunan harga komoditi itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk tujuan itu.

"Mesyuarat Kabinet semalam kita ada bincang mengenai keadaan harga getah dan sawit yang turun sejak kebelakangan ini dan keputusan yang diambil adalah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan mencari penyelesaian membantu pekebun kecil ini," katanya, di sini, hari ini.
Beliau yang ditemui pada majlis Hari Raya RISDA 2012 berkata, RISDA juga akan membantu dengan mewujudkan insentif bagi meringankan beban pekebun kecil.

"Sekarang ini kita sudah kenal pasti baja, latihan dan benih yang secara percuma kita berikan kepada mereka dan langkah ini kita akan lihat dengan lebih serius lagi pada masa depan sekiranya mampu," katanya.

Katanya, komponen baja adalah 30 peratus daripada kos yang terpaksa ditanggung pekebun.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, RISDA tidak mengabaikan nasib kira-kira 15 peratus pekebun kecil yang mengusahakan tanaman secara persendirian.
"Mereka akan dibimbing untuk meningkatkan hasil tanaman sekali gus melonjakkan pendapatan," katanya. - BERNAMA

Pijak gambar pemimpin: Hishammuddin mahu tindakan tegas

Posted: 06 Sep 2012 03:02 AM PDT

BATU PAHAT: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahu tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang terbabit dalam perbuatan memijak gambar pemimpin dan mengibar bendera baru.

"Kes ini dianggap kes kepentingan awam dan polis menyiasat dan kalau tidak boleh didakwa kita nak tahu apa sebab," katanya selepas menghadiri Majlis Minggu Haluan Siswa Universiti Tun Hussein Malaysia, di sini, hari ini.

Katanya, tindakan tegas itu bukan demi kepentingan politik tetapi disebabkan masyarakat marah, jijik dan mual dengan perbuatan berkenaan.
"Saya tidak mahu dituduh mencampuri dalam hal polis, kementerian menekankan dasar dan pendekatan secara menyeluruh dan selepas itu menyerahkan kepada polis, Peguam Negara dan mahkamah menjalankan tugas masing-masing," katanya.

Hishammuddin berkata, bantahan ramai pihak terhadap insiden berkenaan menunjukkan majoriti rakyat Malaysia tidak menerima budaya negatif yang dilakukan individu terbabit.

"Perbuatan itu bercanggah dengan budaya kita dibesarkan. Kalau kita tidak membuat pendirian dan majoriti tidak bersuara, ia akan menular di mana apa saja kelebihan serta keunikan di negara akan terhakis sedikit demi sedikit," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan