Rabu, 5 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Semakan audit bebas dapati kaedah kutipan hutan Talam telus: Khalid

Posted: 05 Sep 2012 03:13 AM PDT

SHAH ALAM: Semakan akauntan bebas terhadap kaedah kutipan hutang tertunggak berjumlah RM392 juta dari Talam Corporation oleh kerajaan Selangor mendapati ia dilaksanakan dengan tertib, mengikut undang-undang, beretika dan menjaga kepentingan negeri, anak-anak syarikat serta rakyat Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata akauntan bebas dari KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) yang dilantik oleh kerajaan negeri itu juga berpandangan bahawa kerajaan negeri telah membuat keputusan komersial yang baik mengikut keadaan bagi menyusun hutang berkenaan.

"Proses penyelesaian hutang ini masih berterusan dan berdasarkan maklumat yang ada, anggaran nilai kasar mencukupi untuk Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) sebagai pihak yang bertanggung jawab mengutip hutang bagi pihak kerajaan negeri dan anak-anak syarikat, mendapatkan semua hutang dari Talam tanpa memberi sebarang pengecualian," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata laporan mengenai semakan berkenaan telah siap sepenuhnya dan akan dibentangkan pada Dewan Negeri Selangor yang dijadualkan bersidang pada November ini serta akan diedarkan kepada orang awam kemudiannya.

Abdul Khalid berkata, pihaknya berpuas hati dengan semakan yang dibuat oleh akauntan bebas itu yang membuat kesimpulan bahawa kerajaan negeri mengadakan dua perjanjian penyelesaian dengan Talam bertujuan mengutip semula hutang RM392 juta yang dihutang kepada kerajaan negeri serta anak-anak syarikatnya.

"Penyelesaian hutang ini dilaksanakan menerusi penyelesaian aset melibatkan sembilan plot tanah dan dua hartanah, 60 peratus saham dalam anak syarikat Talam serta tunai. Perjanjian penyelesaian dengan Talam ini adalah semata-mata bertujuan mengutip hutang," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa kerajaan negeri 'bailout' (memberi bantuan kewangan) hutang Talam sebanyak RM1 billion, Abdul Khalid berkata, proses itu bukan bailout sebaliknya kerajaan negeri mendapatkan aset daripada Talam menerusi perjanjian penyelesaian bagi menyelesaikan hutang syarikat itu.
"Kerajaan negeri tidak membuat keuntungan atau kerugian daripada urus niaga ini. Jika penyelesaian aset ini dijual pada harga lebih tinggi, lebihan jualan dipulangkan kepada Talam selaku pemilik aset," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa sesetengah aset terlalu mahal menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri, Abdul Khalid berkata, audit mendedahkan bahawa terdapat pelbagai laporan penilaian yang telah dikemukakan kepada kerajaan negeri iaitu dari penilaian luar serta dari Jabatan Penilaian, yang dirujuk dalam melaksanakan kaedah penyelesaian hutang berkenaan.

"Secara keseluruhannya, penilaian ini disokong oleh pertimbangan kasar yang telah dipersetujui MBI. Oleh itu, rekod menunjukkan tiada aset yang terlebih bayar," katanya.

Abdul Khalid berkata, selepas aset berkenaan dipindahkan kepada kerajaan negeri ia telah dijual kepada pelbagai pihak termasuk kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri dan sehingga kini, sebanyak 10 daripada 12 aset hasil penyelesaian aset telah dijual.

Beliau berkata anak syarikat kerajaan negeri yang membeli aset berkenaan ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan nilai RM16.9 juta anggaran nilai kasar, PNSB (RM438.5 juta anggaran nilai kasar) dan KHSB (RM44.7 juta anggaran nilai kasar).

"Sudah terdapat pelan pembangunan oleh anak-anak syarikat ini untuk tanah yang dibeli. Dengan pelan pembangunan ini, anak-anak syarikat menjangka membuat keuntungan pada masa depan dan tiada kerugian disebabkan penurunan harga tanah," katanya.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri menjual aset itu kepada anak syarikatnya kerana harga tanah telah dikunci pada harga anggaran kasar seperti yang dipersetujui dalam perjanjian penyelesaian.

Beliau berkata MBI boleh menjual tanah itu kepada mana-mana pihak selagi MBI tidak membuat keuntungan atau menanggung kerugian hasil penjualan aset berkenaan dan oleh kerana kerajaan negeri serta anak-anak syarikat akan membangunkan tanah ini dengan sendirinya, maka MBI menjual tanah itu kepada mereka.

Abdul Khalid dalam pada itu turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzukefli Ahmad, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Setiausaha Politiknya, Faekah Husin sebagai jurucakap rasmi kerajaan negeri bagi berbincang dan berdebat berhubung isu Talam dengan mana-mana individu atau organisasi yang bersesuaian. - BERNAMA

Sepanyol kekal ranking No 1 FIFA

Posted: 05 Sep 2012 03:07 AM PDT

ZURICH: Juara dunia dan Eropah, Sepanyol kekal mendahului dalam ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikeluarkan hari ini dengan negara Eropah menguasai empat tempat teratas.

Sepanyol kekal mendahului tempat pertama diikuti Jerman dan England manakala Portugal melonjak ke tempat keempat mengetasi juara Amerika Selatan, Uruguay di tempat kelima.

Portugal menewaskan Panama dalam perlawanan persahabatan bulan lalu manakala Uruguay pula seri dengan Perancis.
Keputusan perlawanan empat tahun lalu digugurkan daripada pengiraaan FIFa kali ini.

Tempat keenam ialah Itali diikuti Argentina dan Belanda.

Croatia dan Denmark pula masing-masing melengkapkan senarai 10 negara teratas dunia.

Tuan rumah Piala Dunia 2014 Brazil pula hanya melonjak satu anak tangga di tempat ke-11 selepas hanya mengadakan satu perlawanan persahabatan tahun ini.
Di sektor Asia, Jepan masih mendahului dengan berada di tangga ke-23 FIFA manakala saingan terdekat, Australia (25) dan Korea Selatan (27). - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan