Ahad, 2 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kerajaan pastikan penduduk tempatan terbabit dalam projek RAPID

Posted: 02 Sep 2012 02:28 AM PDT

KOTA TINGGI: Kerajaan akan memastikan penduduk tempatan di Pengerang turut terlibat dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) bernilai RM60 bilion oleh syarikat minyak negara, Petronas, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan bersama-sama Petronas akan mewujudkan sebuah pusat latihan untuk melatih anak-anak muda dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri minyak dan gas.

"Warga tempatan juga akan terlibat dalam fasa pembinaan RAPID yang akan memakan masa antara empat dan lima tahun, manakala kontraktor dan syarikat tempatan pula akan menerima kesan limpahan ekonomi menerusinya dari segi peluang perniagaan," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pengerang di sini yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian berkenaan, Datuk Azalina Othman Said.

Mengenai pusat latihan itu, Mustapa berkata ia akan memberi faedah kepada anak-anak muda, terutama generasi ketiga dan keempat Felda, untuk dilatih dengan kemahiran dalam industri minyak dan gas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak katanya merupakan pemimpin yang prihatin terhadap pandangan rakyat dan akan membuat pertimbangan yang sewajarnya supaya penduduk tempatan diutamakan dalam projek RAPID.

Terdahulu dalam ucapannya, Mustapa berkata RAPID apabila pembinaannya siap pada 2016, akan muncul sebagai kompleks penapisan minyak dan petrokimia terbesar di Asia.
"Projek RAPID sangat penting kepada negara," kata Mustapa.

Sementara itu, Azalina pula berkata Umno Bahagian Pengerang menyokong pelaksanaan projek RAPID dan mahu melihat ia berjaya mencapai matlamatnya.

"Bagaimanapun kita mahu penduduk tempatan dilibatkan sama dalam projek itu dan diberikan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan, terutama dalam kalangan anak-anak muda," katanya.

Katanya Umno Bahagian Pengerang tidak mahu melihat warga tempatan diketepikan dalam projek RAPID itu, dengan syarikat yang terlibat lebih berminat membawa masuk pekerja asing.

Umno bahagian kata Azalina mahukan anak-anak muda di Pengerang diberikan peranan dan latihan yang bersesuaian bagi membolehkan mereka mengambil peluang daripada projek ekonomi berskala besar itu.

"Jika anak-anak muda ini tiada kemahiran, berilah mereka kemahiran yang sepatutnya supaya mereka dapat terlibat sama dalam projek RAPID ini," katanya.
Beliau berkata pembangkang akan mengambil peluang jika anak-anak tempatan diketepikan.

Azalina turut meminta kerajaan negeri Johor dan Felda, sebagai pemilik tanah terbesar di Pengerang, supaya menimbang cadangan untuk mewujudkan sebuah bandar baharu Felda bagi mengambil peluang daripada RAPID.

Mustapa yang ditanya tentang cadangan untuk mewujudkan bandar baharu Felda itu, berkata beliau menyokong cadangan itu. - BERNAMA

Naib Ketua Pemuda Umno Ketereh ditemui mati

Posted: 02 Sep 2012 02:26 AM PDT

KOTA BHARU: Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Ketereh ditemui mati di dalam keretanya, di sini hari ini dipercayai akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata mayat Rosyuri Mat Rifin, 44, ditemui orang ramai pada jam 8.10 pagi di dalam kenderaannya yang terletak di tepi jalan di simpang empat lorong belakang al-Quds Travel, di Wakaf Siku.

Menurut isterinya, Rosyuri yang ada bersamanya pada waktu maghrib memberitahunya yang dia hendak menonton bola sepak di antara Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi, kata Azham.
"Mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi selepas menonton perlawanan bola sepak tersebut," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama, di sini.

Azham berkata, mangsa yang beralamat di Kampung Binjai, Ketereh itu ditemui di tempat duduk pemandu dengan terdapat kesan muntah, dan kes berkenaan diklasifikasi sebagai mati mengejut. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan